PEMAIN Croatia, Ivan Perisic. FOTO Reuters
PEMAIN Croatia, Ivan Perisic. FOTO Reuters
Agensi

ZAGREB: Bekas penyerang Croatia, Mladen Petric percaya rakan senegaranya Ivan Perisic yang pernah menjadi buruan Manchester United mampu menjadi watak pemusnah England sama seperti dilakukannya 10 tahun lalu.

Petric yang bersara dua tahun lalu selepas karier yang mengecewakan termasuk setahun di West Ham, begitu terkenal di Croatia kerana ledakan jarak jauhnya di Wembley memadamkan peluang The Three Lions layak ke Euro 2008.

Croatia menewaskan England 3-2 pada November 2007 sekali gus mengakhiri tampuk pengendalian Steve McClaren sebagai pengurus.

Petric berkata: "Pasukan Croatia kali ini mempunyai kemampuan yang hebat. Kami bukan setakat bergantung kepada satu atau dua pemain tetapi lima atau enam pemain.

"Jadi, sesiapapun boleh menjadi Mladen Petric baharu tetapi perasaan saya kuat mengatakan ia mungkin Ivan Perisic.

"Perisic masih belum menampilkan aksi yang ajaib dan kita semua sedia maklum betapa bagusnya dia.

"Saya berharap untuk dia meningkatkan tahap permainannya di Piala Dunia dan memusnahkan England."

Perisic, 29, adalah pemain sayap Inter Milan yang mana Jose Mourinho begitu terdesak mengikatnya ke Old Trafford pada musim lalu namun dikecewakan tolakan dua lamarannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 1:42 AM