Ramli (kiri) mahu Annuar bertanding. FOTO fail HM
Ramli (kiri) mahu Annuar bertanding. FOTO fail HM
Nazri Abu Bakar

 

MELAKA: Legenda bolasepak negara, Ramli Junit mahu Tan Sri Annuar Musa meneruskan perebutan jawatan nombor satu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sekali gus menyokong amalan demokrasi dalam badan induk bola sepak itu.

Baginya, langkah menarik diri tidak wajar selepas Annuar bersetuju untuk bertanding, tambahan sudah mendapat sokongan dan pencalonan.

"Walaupun sesetengah pihak menyambut baik langkah menarik diri, saya berpendapat dia perlu meneruskannya (bertanding) kerana memperoleh mandat persatuan yang menyokong dalam usaha meneroka pandangan baharu FAM ke arah yang lebih baik,” kata Ramli.

"Memandangkan beliau juga dikenali ramai ahli gabungan, selain pengalaman mentadbir Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), niat awalnya untuk mengubah FAM wajar diteruskan, malah jika enggan bertanding seharusnya lebih awal tidak menawarkan diri.

"Kalah, menang adat pertandingan dalam mana-mana persatuan, Jadi, dia sepatutnya menerima cabaran kerana FAM mengamalkan sistem demokrasi untuk membantu melaksanakan pembaharuan dalama usaha memperkukuhkan badan bolasepak itu." 

Ramli berkata, setiap calon mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing, justeru beliau berharap kelebihan dan kekurangan dapat dihormati perwakilan untuk penilaian mereka. 

NSTP semalam melaporkan, Annuar mengumumkan menarik diri daripada bertanding bagi merebut jawatan Presiden FAM, dan keputusan itu untuk memberi laluan kepada Datuk Hamidin Mohd Amin menggalas jawatan itu selepas mengambil kira nasihat Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, selain bagi memberi tumpuan ke atas usaha memperkasa UMNO.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 4:40 PM