HAFIZH SYAHRIN ABDULLAH
HAFIZH SYAHRIN ABDULLAH
Fadhli Ishak


PENUNGGANG MotoGP negara Hafizh Syahrin Abdullah bersemangat untuk mencipta impak di ‘laman sendiri kedua’ apabila tiba di grid perlumbaan Grand Prix Catalan, hujung minggu ini.

Hafizh, yang sudah lama berpangkalan di Barcelona sejak bersaing dalam Kejuaraan Moto3 CEV pada 2012 menganggap Litar Catalunya sebagai salah satu sirkit yang paling digemarinya.

Justeru, pelumba pasukan Monster Yamaha Tech3 yang menandatangani kontrak lanjutan selama setahun bersama pasukan itu optimis dengan peluang dimilikinya.

“Saya tidak sabar untuk mengharungi GP Catalan, yang saya anggap sebagai perlumbaan laman sendiri kedua (selepas Sepang), kerana saya sudah lama berpangkalan di Sepanyol,” kata Hafizh.

“Ia litar yang paling saya gemari. Kami sudah mengadakan ujian di sini musim ini. Selepas ujian dan perlumbaan di Mugello, saya sudah mendapat perasaan yang baik dengan jentera serta pemahaman yang lebih membabitkan pelarasan.

“Saya tidak sabar mengharungi pusingan ini. Saya mahu mendapatkan perlumbaan yang baik sekali lagi dan bersaing untuk merebut tempat sebagai pelumba baru terbaik.

“Secara fizikal, saya agak kuat ketika ini, jadi saya sudah cukup bersedia untuk tiba di Montmelo,” katanya yang terus berada di Barcelona sekalipun pasukannya, Tech3 berpangkalan di Perancis.

Selepas terjatuh pada perlumbaan di Austin, April lalu, Hafizh menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12 di Le Mans hujung bulan lalu dan Mugello awal bulan ini.

Dia kini berkongsi kedudukan pendahulu pelumba baharu terbaik dengan pelumba Itali yang juga penyandang juara dunia Moto2, Franco Morbidelli.

Hafizh yang ketika ini berada di kedudukan ke-16 kedudukan MotoGP selepas mengutip 17 mata, menamatkan perlumbaan di Catalunya di tangga kesembilan (2017) dan keempat (2016) ketika beraksi dalam Moto2.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 11:08 PM