NOVAK DJOKOVIC
NOVAK DJOKOVIC
AFP

NOVAK Djokovic berdepan krisis terbesar dalam kariernya selepas kalah mengejut kepada pemain Itali, Marco Cecchinato pada Terbuka Perancis menyebabkannya memikirkan kembali penyertaannya di Wimbledon untuk memperbaiki permainannya serta menenangkan fikiran.

Pemain Serbia berusia 31 tahun itu tewas 3-6, 6-7 (4/7), 6-1, 6-7 (11/13) pada suku akhir di tangan Cecchinato, pemain ranking 72 dunia yang tidak pernah menang perlawanan pada kejohanan utama sebelum Roland Garros tahun ini.

Djokovic, bekas pemain nombor satu dunia dan juara Grand Slam 12 kali sebelum ini pernah ditewaskan pemain di ranking lebih bawah daripada Cecchinato, 25, dalam kejohanan utama di dua kejohanan berbeza.

Dia tewas kepada Marat Safin di Wimbledon pada 2008 apabila pemain Russia itu berada di ranking ke-78 dan Denis Istomin di ranking 117 dunia pada Terbuka Australia tahun lalu.

Kekalahan itu menyebabkan Djokovic terkejut, hingga dia mengancam untuk tidak menyertai kejohanan gelanggang rumput dan mungkin Wimbledon, yang mana dia adalah juara tiga kali.

“Saya tidak tahu sama ada saya akan bermain di gelanggang rumput, saya tidak terfikir mengenai tenis ketika ini,” kata Djokovic yang memilih untuk mengadakan sidang media di bilik persidangan kecil yang tertutup pada sebelah petang, jauh daripada tumpuan kamera.

Statistik kariernya yang sebelum ini mencatat pelbagai pencapaian hebat, kini semakin menjunam.

Gelaran terakhir daripada 12 kejohanan utama itu diraihnya di Roland Garros pada 2016 apabila dia melengkapkan gelaran Grand Slam peribadi.

Ia juga tahun yang mana dia menjadi pemain pertama meraih hadiah kemenangan AS$100 juta (RM397.9 juta).

“Ia sukar. Banyak perkara yang sukar dalam hidup ini,” kata Djokovic.

“Mana-mana kekalahan dalam Grand Slam memang sukar, apatah lagi selepas anda melakukan persediaan selama berbulan-bulan.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 11:39 AM