FARAH Ayuni (kanan) dinobatkan penjaga gol terbaik ACT kali kedua berturut-turut. -Foto fail
FARAH Ayuni (kanan) dinobatkan penjaga gol terbaik ACT kali kedua berturut-turut. -Foto fail
Jugjet Singh


SKUAD hoki wanita negara menamatkan saingan di kedudukan keempat dengan Farah Ayuni Yahya dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Donghae, Korea Selatan, Ahad lalu.

  Anugerah itu adalah yang kedua berturut-turut buat dirinya apabila turut dinobatkan sebagai Penjaga Gol terbaik di ACT Singapura dua tahun lalu biarpun ketika itu Malaysia menamatkan aksi di kedudukan terakhir antara lima pasukan yang mengambil bahagian.

   Pemain yang juga anggota polis itu memainkan peranan penting kebangkitan skuad hoki wanita dan menjadi tumpuan apabila menjadi nadi utama kemenangan 2-1 ke atas pasukan yang menduduki ranking lebih tinggi, Itali dalam penentuan penalti shoot-out seterusnya mengiringi Ireland layak ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia sewaktu beraksi di Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Kuala Lumpur.

   Malaysia ketika itu mengikat Itali 2-2 dan kejayaan Farah menyelamatkan penalti shoot-out cukup bermakna untuk membawa negara buat pertama kali ke pentas Separuh Akhir Liga Hoki Dunia.

  Jurulatih skuad negara Dhaarma Raj Abdullah dijangka sekali lagi akan mempertaruhkan Farah untuk mengawal gawang gol negara apabila turun beraksi di Sukan Asia Jakarta Ogos ini.

   “Dia sentiasa menjadi aset utama negara di setiap kejohanan kerana menyelamatkan gawang gol seterusnya memberi motivasi kepada seluruh pasukan. Pada Sukan Asia di Jakarta kami masih memerlukan khidmatnya untuk melakarkan kejutan menewaskan pasukan yang mempunyai ranking lebih tinggi.

   “Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) meletakkan sasaran pingat gangsa di Jakarta dan saya yakin pemain mampu melakukannya. Kami akan berusaha merebut peluang dan akan cuba untuk mendapatkan pingat,” katanya.

   Persekutuan Hoki Asia (AHF) bagaimanapun masih belum lagi mengumumkan jadual perlawanan namun 10 pasukan akan dibahagikan kepada dua kumpulan di Sukan Asia nanti.

  10 pasukan yang beraksi terdiri Indonesia, Malaysia, Korea Selatan, Jepun, China, India, Thailand, Hong Kong, Taiwan dan Kazahkstan.

  Di atas kertas Malaysia tidak mempunyai masalah apabila turun menentang Indonesia,  Hong Kong, Taiwan dan Kazakhstan berdasarkan persembahan di ACT di mana mereka menewaskan Jepun 3-2, tewas kepada China (1-3), Korea Selatan (1-3) dan India (3-2) dalam aksi peringkat kumpulan.

   Pada aksi penentuan pingat gangsa China hanya mampu meraih kemenangan 2-0.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mei 2018 @ 6:39 PM