CONTE bersama Piala FA. FOTO/AFP
CONTE bersama Piala FA. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Antonio Conte memberi amaran kepada Chelsea bahawa dia tidak akan mengubah permintaannya dengan jurulatih yang menghadiahkan kejuaraan Piala FA buat The Blues itu menunggu keputusan sama ada dia akan dipecat atau tidak.

Conte mengakhiri musim bermasalah dengan catatan terbaik selepas kejayaan Chelsea menewaskan Manchester United 1-0 pada final Piala FA, awal pagi tadi di Wembley.

Sepakan penalti pada babak pertama yang disudahkan Eden Hazard sudah cukup untuk Conte merangkul trofi kedua selepas dua tahun tugasnya bersama The Blues.

Sama ada kejayaan di Piala FA cukup untuk meyakinkan pemilik Chelsea, Roman Abramovich untuk tidak memecat Conte, keraguan terhadap pengurus dari Itali itu tetap kekal selepas skuadnya menamatkan Liga Perdana di kedudukan kelima dan gagal melayakkan diri ke Liga Juara-Juara.

Conte mengalami perselisihan dengan pengurusan kelab itu yang gagal menjayakan perancangan perpindahan dimahukan selepas kejayaan merangkul gelaran Liga Perdana musim lalu.

Conte juga dikatakan mengecam keperibadian beberapa bintang Chelsea selain mengenakan latihan yang keras.

Tetapi bekas jurulatih Juventus dan Itali itu menganggap gaya pengurusannya menjadikan beliau ‘pemenang bersiri’ yang patut dihormati.

“Selepas dua tahun, kelab ini mengenali saya dengan sangat baik, jika mereka ingin terus bekerja dengan saya, mereka mengenali saya. Saya tidak boleh berubah, cara saya sentiasa sama, kerja keras dan membina mentaliti yang kuat dengan pemain saya.

“Saya tidak boleh berubah, saya fikir apa yang saya katakan sebelum ini sangat jelas sebagai pemain dan sebagai pengurus.

“Anda boleh katakan apa yang anda mahu, tapi saya pemenang bersiri. Saya membuktikannya di England, dalam saat sukar buat kelab.

“Saya membuktikannya hari ini, kerana kami menemui jalan yang betul untuk memenangi trofi. Ia adalah satu saat yang anda mempunyai banyak persoalan mengenai diri sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 7:24 AM