PENYERANG Liverpool, Mohamed Salah. FOTO Reuters
PENYERANG Liverpool, Mohamed Salah. FOTO Reuters
Reuters

BELUM masanya untuk penyerang Liverpool Mohamed Salah berehat apabila dia menggesa kelab itu mengakhiri kempen Liga Perdana Inggeris musim ini dengan kemenangan pada hari terakhir menjelang final Liga Juara-Juara lewat bulan ini.

Koleksi 43 gol daripada 50 perlawanan sumbangan pemain Mesir itu dalam semua kejohanan pada musim pertamanya itu membolehkannya menerima pelbagai anugerah termasuk Pemain Terbaik Liverpool musim ini hari ini.

Liverpool memerlukan keputusan seri dengan Brighton and Hove Albion  di laman sendiri Ahad ini untuk menduduki empat tangga teratas dan tiket ke Liga Juara-Juara biarpun kelab Merseyside itu berdepan juara bertahan Real Madrid pada final di Kiev 26 Mei ini.

Kemenangan dalam perlawanan itu akan memberikan Liverpool gelaran keenam Eropah dan mengesahkan kedudukan mereka pada edisi musim depan.

“Saya menikmati musim yang hebat, begitu juga dengan kami semua. Kini kami di final Liga Juara-Juara dan kami mempunyai satu perlawanan liga untuk dimenangi atau seri untuk berada di Liga Juara-Juara tahun depan. Jadi kami ada dua perlawanan akhir,” kata Salah.

“Kami mahu layak ke Liga Juara-Juara musim depan dan kemudian menjuarai Liga Juara-Juara. Kami akan menentang Real Madrid untuk menang tetapi buat masa ini kami hanya memikirkan mengenai Brighton. Kemudian kami mempunyai 14 hari untuk persiapan ke final.”

Salah, bersama-sama pemain sayap Sadio Mane dan penyerang Roberto Firmino, menjadi nadi buat kejayaan Liverpool musim ini dan pemain berusia 25 tahun itu tidak sabar untuk melonjakkan kelab itu ke tahap seterusnya pada masa depan.

“Ini hanya permulaan. Ini adalah tahun pertama saya, begitu juga dengan beberapa pemain lain. Tahun ini kami menempuhi pengalaman yang luar biasa,” kata Salah.

“Kami amat selesa untuk bermain di Liga Juara-Juara musim depan. Dalam laluan ke final kami menewaskan pasukan hebat seperti Manchester City dan Roma. Ia hanya satu permulaan buat pasukan ini.”

Salah juga mewakili Mesir ke Piala Dunia Russia tahun ini, di mana negara Afrika itu akan menentang Uruguay dalam perlawanan pertama mereka 15 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 6:22 PM