Izzuddin (kiri) bersama Sze Fei buru tempat dalam skuad Piala Thomas.
Izzuddin (kiri) bersama Sze Fei buru tempat dalam skuad Piala Thomas.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani menganggap Kejohanan Badminton Asia yang bermula hari ini ibarat misi hidup mati buatnya dan Goh Sze Fei untuk memburu tempat dalam skuad Piala Thomas, bulan depan.

Selepas memperagakan aksi kurang memberangsangkan sejak tahun lalu dan gagal mempertahankan kejuaraan Cabaran Antarabangsa Malaysia kelmarin, dia dan Sze Fei tiada pilihan selain menyinar pada kejohanan di Wuhan, China itu.

“Memang kejohanan di Wuhan kejohanan terakhir untuk menentukan pemain yang akan mewakili negara ke Piala Thomas. Jadi, kami harus menggunakan peluang terakhir ini untuk membuktikan kemampuan sebenar,” kata pemain berusia 20 tahun itu, semalam.

Menurutnya, walaupun berdepan tekanan termasuk peningkatan mendadak rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan aksi konsisten Arif Latif-Azriyn Ayub, Nur Izzuddin mengakui dia tidak mahu terlalu memikirkan gandingan itu.

“Saya tidak mahu meletakkan tekanan terhadap diri sendiri. Apa yang mahu saya lakukan di Wuhan adalah beraksi seperti biasa dan memberikan persembahan terbaik,” kata pemain kelahiran Muar itu.

Izzuddin bagaimanapun, mengakui berdasarkan undian, ia bukan tugas mudah.

“Semua lawan yang beraksi di kejohanan ini adalah yang terbaik dari rantau Asia, namun ia satu pentas terbaik untuk kami mengukur kemampuan.

“Lagipun, ini penampilan kedua kami dan pengalaman itu mungkin mampu membantu kami menangani perasaan gementar seperti tahun lalu,” katanya.

Berdasarkan undian, Sze Fei-Nur Izzuddin akan berdepan beregu Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han pada pusingan pertama, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 2:50 AM