PEREZ (dua dari kanan) jaring gol pertama Newcastle. -Foto Reuters
PEREZ (dua dari kanan) jaring gol pertama Newcastle. -Foto Reuters
Reuters

NEWCASTLE United mengukuhkan kedudukan dalam zon selamat Liga Perdana Inggeris selepas bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Arsenal 2-1 di St James’ Park hari ini.

Alexandre Lacazette meletakkan Arsenal di depan pada minit ke-14 menerusi sepakan voli tetapi Ayoze Perez kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-30.

Newcastle tampil lebih garang pada babak kedua dan mendahului permainan pada minit ke-68 apabila Matt Richie menyempurnakan hantaran Perez.

Arsenal cuba bangkit tetapi Newcastle terus bertahan untuk merakam kemenangan keempat berturut-turut.

Newcastle kini di tangga ke-10 dengan 41 mata manakala Arsenal di tangga keenam mengumpul 54 mata - 13 mata di belakang Tottenham Hotspur yang berada di tangga keempat.

“40 mata adalah sasaran kami di awal musim dan saya harap ia memadai untuk mengekalkan status sebagai kelab Liga Perdana Inggeris,” kata Ritchie.

“Kini kami mahu terus berjuang dan cuba untuk menamatkan saingan di kedudukan paling baik liga.”

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 April 2018 @ 11:12 PM