ISKANDAR ZULKARNAIN
ISKANDAR ZULKARNAIN
Ferzalfie Fauzi


PEMAIN perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin mara ke suku akhir China Masters selepas menumpaskan wakil tuan rumah, Weng Hongyang di Stadium Agile, Lingshui.

Iskandar yang juga pilihan ketujuh mencatat kemenangan straight set 21-19, 21-9 dan bakal berdepan Lin Yu Hsien dari Taiwan esok.

Dua bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Chong Wei Feng dan Liew Daren juga mengikut jejak Iskandar selepas mencatat kemenangan dalam aksi pusingan ketiga hari ini.

Wei Feng tidak berdepan masalah menumpaskan pemain Taiwan, Yang Chih Chieh 21-18, 21-19 dan akan berdepan Zhou Zeqi dari China esok, manakala Daren yang juga pilihan kedua mengalahkan Heo Kwang Hee (Korea Selatan) 13-21, 21-17, 21-19 seterusnya menempah aksi menentang Lu Guangzu (China).

Sementara itu, dalam saingan Siri Antarabangsa Indonesia, pemain profesional Aidil Sholeh Ali Sadikin terus mempamerkan rentak cemerlang apabila mara ke suku akhir selepas menumpaskan pilihan ke-10, Henrikho Kho Wibowo 21-11, 21-16 (Indonesia).

Dia yang pernah beraksi di Kejohanan Remaja Dunia di Yogyakarta tahun lalu, berada pada prestasi terbaik apabila semalam berjaya mengetepikan pilihan keenam dari India, Mithun Manjunath.

“Alhamdulillah saya berjaya mencatat kemenangan hari ini dan mencapai sasaran mara ke suku akhir. Jika esok saya barjaya meneruskan rentak kemenangan ia adalah satu bonus buat saya. Saya akan cuba berikan permainan terbaik esok.

“Kebanyakan pemain Indonesia semuanya mempunyai permainan mantap dan banyak pengalaman. Saya akui ada yang lebih baik dari saya,” katanya yang muncul juara Sirkit 2 Kejohanan Badminton Remaja Bawah 18 tahun (B-18) tahun lalu.

Menanti Aidil Sholeh di suku akhir ialah pemain tuan rumah, Krishna Adi Nugraha yang sebelum itu menumpaskan rakan senegara, Gatjra Piliang Fiqihila Cupu 21-15, 18-21, 22-20.

Turut mara ke suku akhir ialah gandingan beregu wanita, Lim Chiew Sien-Tan Sueh Jeou yang mengalahkan wakil tuan rumah, Riska Ayu Indah Sari-Elok Machsunnah 23-21, 21-10.

Beregu campuran, Man Wei Chong-Teoh Mei Xing juga tidak berdepan masalah untuk ke suku akhir selepas berjaya menumpaskan Tang Kai Wei-Lee Wei Tzu dari Taiwan 21-15, 21-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 10:16 PM