PALLOTTA (kiri) dikenakan denda selepas mandi di dalam kolam air pancut di tengah bandar Eternal. FOTO/AFP
PALLOTTA (kiri) dikenakan denda selepas mandi di dalam kolam air pancut di tengah bandar Eternal. FOTO/AFP
Reuters

Rom: Pengerusi Roma, James Pallotta dikenakan denda selepas menyambut kemenangan pasukannya ke atas Barcelona secara melampau dengan mandi di dalam kolam air pancut di tengah bandar Eternal.

Menerusi rakaman video, Pallotta yang dikelilingi penyokong AS Roma, dilihat sengaja terjun ke dalam kolam air pancut di Piazza del Popolo selepas pasukannya menang 3-0 sekali gus membolehkan mereka layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara menerusi kaedah gol di tempat lawan.

Mandi di air pancut adalah dilarang di Rome dan Pallotta terpaksa membayar denda sebanyak 450 euro (RM2,156) atas tindakannya itu.

“Pallotta sudah memohon maaf, beliau melakukannya kerana terlalu seronok,” kata datuk bandar Rome, Virginia Raggi ketika mengesahkan permohonan maaf pengendali berusia 60 tahun itu.

Pallotta yang memegang saham terbesar kumpulan pelaburan Raptor, berpangkalan di Amerika Syarikat dan berada di Rome kerana mahu membincangkan projek stadium baru bersama Raggi.

“Beliau faham dengan kesan tindakannya itu dan bersetuju membayar denda,” kata Raggi.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pagi tadi, persatuan pengguna Codacons melabel tindakan berkenaan sebagai ‘contoh buruk buat jutaan penyokong Roma dan pelakunya wajar menghormati harta benda awam serta hak sejarah.’

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 9:38 PM