JOHNATHAN raih tempat ketujuh acara 50 meter pistol. FOTO/FAIL
JOHNATHAN raih tempat ketujuh acara 50 meter pistol. FOTO/FAIL
Daripada Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid di Gold Coast


KELEMAHAN mental adalah musuh terbesar Johnathan Wong tetapi penembak negara itu berikrar untuk memperbaiki kelemahan itu menjelang Sukan Asia dan Kejohanan Dunia.

Penembak yang berasal dari Melaka itu mengakhiri kempen Sukan Komanwel dengan menamatkan saingan di tempat ketujuh acara 50 meter pistol di Pusat Menembak Belmont, hari ini.

Johnathan yang menduduki tempat kelima dengan 545 mata dalam pusingan kelayakan, membuat kejutan di final dengan menduduki tempat kedua selepas lima tembakan awal di peringkat pertama.

Bagaimanapun, dia kemudiannya tidak dapat mengekalkan prestasinya sebelum tersingkir dengan keseluruhan 181.40 mata.

“Keadaan berangin dan saya tidak berdaya untuk mengangkat tangan apabila mahu membuat tembakan. Otot saya semakin lemah,” kata Johnathan yang menamatkan saingan di tempat kelapan acara 10m air pistol, dua hari lalu.

“Bagaimanapun saya sangat gembira dengan persembahan saya... ia lebih bagus berbanding 10m air pistol.

“Perkara utama, saya perlu menerima kekalahan ini dan melonjak kembali.

“Saya akan memberi fokus terhadap cara menguatkan mental apabila kembali nanti.

“Tahun ini sangat penting dengan Sukan Asia dan Kejohanan Dunia, serta kelayakan Olimpik yang akan datang.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 5:13 PM