MEHMET (kiri) mahu anak fokus buru kemenangan menentang PKNS. FOTO/FAIL
MEHMET (kiri) mahu anak fokus buru kemenangan menentang PKNS. FOTO/FAIL
Azizan Hashim


TEMPOH 36 jam seterusnya dinanti dengan penuh debaran oleh Mehmet Durakovic untuk menentukan kesebelasan utama Perak bagi membuat perhitungan dengan PKNS FC dalam suku akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, malam esok.

Ini kerana beberapa pemain utama seperti Brendan Gan, Nazirul Naim Che Hashim dan Shahrul Saad mengalami kecederaan ringan.

“Pemain terbabit mengalami kecederaan dan tidak dapat berlatih lasak bersama rakan lain. Saya perlu tunggu hingga ke saat akhir sebelum menetapkan barisan permulaan kami,” kata Durakovic yang berlepas ke Shah Alam, pagi tadi.

Menurut jurulatih itu, kecuali Hafiz Kamal, dia membawa semua pemain ke Shah Alam untuk memberi lebih banyak pilihan.

Mengenai pertembungan dengan skuad kendalian Datuk K Rajagopal itu, Durakovic sedar kelebihan dimiliki lawan yamg musim ini menumpaskan mereka 2-0 dalam pertemuan Liga Super di Lumut pada 10 Februari lalu.

Malah jurulatih itu juga tahu mengenai ‘badi’ PKNS FC ke atas Perak setakat ini yang menyaksikan pasukan Yob gagal mengatasi lawan sejak dua tiga musim.

“Saya dimaklumkan mengenai ‘badi’ itu tetapi ini bola sepak profesional. Pemain perlu bersikap profesional dan berusaha untuk mengatasi kegagalan setakat ini. Jika betul ada badi mari kita tamatkannya segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 3:57 PM