PEMAIN Perak menjalani latihan bagi menghadapi PKNS FC. -Foto fail
PEMAIN Perak menjalani latihan bagi menghadapi PKNS FC. -Foto fail
Rodly Fadly


PERAK perlu mengelak pintu gol mereka dibolosi pada awal permainan apabila berdepan PKNS FC pada suku akhir pertama Piala FA di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Ia bagi memastikan ‘pisang tidak berbuah dua kali’ selepas kealpaan pada babak awal perlawanan dihukum oleh penyerang PKNS FC, Rafael Ramazotti pada minit kedua, ketika pertembungan Liga Super, pada 10 Februari lalu yang menyaksikan Perak kecundang 0-2.

Ketua pasukan, Nasir Basharuddin memberi peringatan itu kepada rakan sepasukannya kerana percaya gol minit awal mampu membunuh perjuangan mereka.

“Saya tidak beraksi dalam perlawanan di Lumut itu kerana kecederaan, tetapi dapat membuat rumusan antara satu sebab kami tewas kepada PKNS kerana gol awal berkenaan.

“Apabila anda ketinggalan terlalu awal, amat sukar untuk bangkit kerana lawan akan berusaha menutup setiap ruang untuk mempertahankan gol itu.

“Malah, mereka mengambil kesempatan daripada keghairahan kami mencari gol penyamaan dengan menjaringkan gol kedua. Itu akan menyukarkan kami. Jadi, untuk perlawanan Sabtu ini, saya harap ia tidak berulang,” ujar Nasir.

Walau bagaimana pun pemain tengah itu berkata, The Bos Gaurus lebih bersedia untuk menangani skuad Semut Merah kali ini kerana sudah menemui tempo serta keserasian dalam permainan.

Malah apa yang melegakan Nasir, lima rakan sepasukan yang baru selesai tugasan bersama skuad kebangsaan, pulang tanpa sebarang kecederaan.

Kelima-lima pemain itu, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Shahrul Saad, Nazirul Naim Che Hashim, Nor Hakim Hassan dan Syazwan Zaipol Bahari telah menyertai latihan skuad Perak sebaik sahaja kembali ke Ipoh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 4:09 PM