AKSI Salah meraikan gol keempat Liverpool dan hatrik pertamanya di Anfield. -Foto Reuters
AKSI Salah meraikan gol keempat Liverpool dan hatrik pertamanya di Anfield. -Foto Reuters
AFP

LIVERPOOL: Mohamed Salah meledak hatrik pertamanya di Liverpool dengan menjaringkan empat gol ketika tuan rumah membelasah Watford 5-0 di Anfield dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.

Liverpool bangkit daripada kekecewaan tewas kepada Manchester United pada minggu lalu ketika Salah memastikan tiga mata penuh untuk membawa The Reds mengatasi Tottenham di tangga ketiga liga.

Lebih mengagumkan, pemain kelahiran Mesir itu bukan saja menjaringkan empat gol, tetapi turut mencipta umpanan untuk satu lagi gol Liverpool yang disempurnakan Roberto Firmino.

SALAH (dua dari kiri) jaring gol kedua Liverpool ketika membenam Watford. -Foto Reuters
SALAH (dua dari kiri) jaring gol kedua Liverpool ketika membenam Watford. -Foto Reuters

Tiba di Anfield dengan rekod tewas tujuh daripada lapan perlawanan di tempat lawan dalam kancah EPL, Watford tampak sukar untuk menghalang satu lagi kekalahan selepas dibolosi seawal minit keempat.

Pada aksi yang berlangsung sejuk dengan keadaan bersalji di Anfield, peminat Liverpool memulakan pesta apabila Salah membuka tirai jaringan.

Selepas gol itu, pelawat mula mengukuhkan pertahanan mereka tetapi ia tidak menghalang The Reds untuk berpesta gol dengan Salah menyumbat gol kedua peribadinya pada minit ke-43 berpunca hantaran  Andy Robertson.

Empat minit selepas babak kedua bersambung, skuad kendalian Jurgen Klopp itu meneruskan penguasaan dengan menjaringkan gol ketiga menerusi Firmino yang berpunca daripada gerakan dan hantaran Salah.

GOL pertama Liverpool jaringan Salah (tengah). -Foto AFP
GOL pertama Liverpool jaringan Salah (tengah). -Foto AFP

Watford hampir menjaringkan gol tetapi sepakan percuma Roberto Pereyra sekadar menggegar palang.

Salah kemudian menjadikan kedudukan 4-0 ketika permainan berbaki 13 minit dan melengkapkan gol kemenangan Liverpool pada minit ke-85 untuk mengumpul keseluruhan 36 gol pada musim pertamanya di Anfield.

Satu-satunya perkara negatif buat Liverpool pada perlawanan itu ialah pemain mereka, Emre Can mengalami kecederaan sebelum babak pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 8:23 AM