MANIAM akui pemain gagal tangani corak permainan Perak.
MANIAM akui pemain gagal tangani corak permainan Perak.
Azizan Hashim

Ipoh: “Pemain tidak beraksi seperti biasa dan kami tumpas kerana corak berkesan lawan,” begitu rumusan jurulatih P Maniam mengenai kekalahan 0-3 Selangor kepada Perak dalam saingan Liga Super di Stadium TLDM, Lumut, kelmarin.

“Kami bermain di bawah kemampuan pada separuh pertama.

“Selepas rehat baru kami dapat rentak dan mula mencipta peluang, tapi gagal menyudahkannya,” katanya.

Menurut Maniam, pemain Selangor tidak dapat menangani corak hantaran jauh Perak yang berkesan merobek kubu mereka.

Katanya, Perak juga padat di tengah dan keadaan itu menyukarkan Selangor yang melepaskan tiga gol untuk tambah menyukarkan usaha kebangkitan mereka.

“Memang kekalahan ini pahit untuk ditelan, tapi kami kena terima hakikat.

“Ini satu perlawanan yang perlu segera dilupakan supaya tidak menjejas tumpuan pemain untuk membuat persiapan bagi menghadapi perlawanan seterusnya,” katanya.

Selangor akan bertemu Terengganu FC pada pusingan ketiga Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Mac 2018 @ 7:46 AM