PEMAIN Selangor, Amri Yahyah (kiri) dihalang pemain Perak, Shahrul Mohd Saad di Stadium TLDM Lumut. FOTO/EFFENDY RASHID
PEMAIN Selangor, Amri Yahyah (kiri) dihalang pemain Perak, Shahrul Mohd Saad di Stadium TLDM Lumut. FOTO/EFFENDY RASHID
Azizan Hashim

MEHMET Durakovic nyata cukup bijak menggunakan segala pengetahuan yang ada ketika membimbing Selangor untuk membantu Perak menjerat bekas pasukannya itu, dengan kemenangan bergaya 3-0 dalam aksi Liga Super sebentar tadi.

Selangor yang dibimbing P Maniam nyata tidak mempunyai jawapan kepada corak berkesan tuan rumah yang menguasai babak pertama dan meraih kelebihan tiga gol Stadium TLDM, Lumut.

Malah pelawat terpaksa beraksi dengan hanya 10 pemain apabila William Silva Costa diperintahkan keluar padang selepas dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-86.

Dalam pertembungan tadi, tiga jaringan pada babak pertama sudah mencukupi buat anak buah Durokovic merakam kemenangan keduanya dalam saingan Liga Super musim ini.

Tuan rumah mempamer penguasaan penuh pada babak pertama dan memiliki beberapa peluang menjaringkan gol memburu gol awal.

Usaha Perak membuahkan hasil apabila Ashmawi Md Yakin yang cuba mengeluarkan bola dari kawasan bahaya tertanduk ke dalam gawang sendiri pada minit ke-24.

Bermula dengan gol pencetus semangat itu, Perak meningkatkan serangan dan 11 minit kemudian, D Kenny Pallraj menyempurnakan bola silang hantaran Nor Hakim Hassan pada minit ke-35 untuk gol kedua tuan rumah.

Perak bagaikan tidak dapat disekat apabila apabila melancarkan gerakan bertali arus ke arah gawang pelawat dan meraih gol ketiga apabila Gilmar Jose Filho merembat kencang melepasi Mohd Khairulazhan pada minit-45.

Penguasaan Perak bersambung pada babak kedua, tetapi peluang menambah jaringan tidak digunakan oleh pemain Perak sehingga ke penamat.

Kemenangan itu membolehkan Perak melonjak ke tangga ke enam liga, selepas meraih tuju mata setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Mac 2018 @ 11:39 PM