CURRAN Ferns sedia beraksi dengan Harimau Malaya. -Foto fail
CURRAN Ferns sedia beraksi dengan Harimau Malaya. -Foto fail
Syafiq Aznan


PEMAIN tengah berdarah kacukan yang beraksi bersama FELDA United, Curran Lawrance Singh Ferns tanpa berselindung mengakui dia mengintai peluang untuk menyertai skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.

Untuk itu, pemain berdarah kacukan Malaysia-Australia itu berbesar hati untuk menabur khidmatnya jika mendapat panggilan daripada pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk mengharungi mana-mana aksi antarabangsa selepas ini.

“Ya, sebelum ini pun saya pernah menyatakan hasrat saya secara terang-terangan bahawa saya mahu mewakili skuad kebangsaan.

“Jadi, saya bersedia untuk menyarung jersi Harimau Malaya sekiranya mendapat panggilan selepas ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bekas pemain tengah Johor Darul Ta’zim II (JDTII) itu diturunkan selaku kesebelasan utama dalam dua aksi Liga Perdana musim ini dan memperaga aksi memberangsangkan apabila turut membantu jaringan ketika pasukan itu membenam PDRM 6-2 pada aksi kedua.

Pemain yang pernah beraksi bersama Brisbane City itu boleh bermain di dua posisi iaitu tengah dan pertahanan namun pengendali ‘The Fighters’, B Sathianathan memilih untuk menurunkannya di posisi tengah pada musim ini.

Terdahulu, bekas jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Mohamad Bakar mengakui satu langkah yang wajar untuk skuad Harimau Malaya memanfaatkan kemampuan pemain berdarah campuran yang memiliki kelayakan untuk menyarung jersi negara sebagai usaha memantapkan lagi barisan pemain negara.

Bagaimanapun, bekas penolong jurulatih Olimpik Moscow 1980 itu mengingatkan barisan kejurulatihan skuad kebangsaan bahawa mereka perlu memastikan pemain naturalisasi berkenaan bagus dan mampu memberi nilai tambah untuk membantu skuad kebangsaan.

“Kalau setakat mahu mengisi tempat dalam skuad kebangsaan tetapi taraf permainan mereka pun lebih kurang sama dengan pemain tempatan, lebih baik kita beri peluang kepada pemain tempatan saja,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2018 @ 7:46 PM