MEHMET Durakovic.
MEHMET Durakovic.
HM Digital

Alor Setar: “Empat mata yang dikumpul dalam tempoh tiga hari adalah satu keputusan yang sangat menggembirakan kami kerana bukan semua pasukan datang ke Kedah dapat pulang dengan kemenangan,” kata pengendali Perak Mehmet Durakovic selepas kejayaan anak buahnya membenam Kedah 3-1 di Stadium Darul Aman kelmarin dan mengikat Pahang 0-0 di Kuantan, Ahad lalu.

“Kami berjuang berhabis-habisan sepanjang 90 minit kerana kami sedar bukan tugas yang mudah untuk beraksi di Darul Aman, tetapi dengan perancangan dan usaha seratus peratus yang ditunjukkan oleh semua pemain akhirnya kami berjaya cipta kemenangan,” kata Durakovic.

“Pemain berjaya mengikut taktikal seperti yang dirancang dan mereka lakukan apa yang saya arahkan dengan cuba mengatasi corak permainan Kedah yang kami sudah jangkakan, dan akhirnya kami berjaya hasilkan keputusan yang memihak kepada kami.”

Durakovic berkata dengan kemenangan dan motivasi yang diperolehi melalui kemenangan ini, Perak tetap akan meningkatkan lagi prestasi dan mutu permainan untuk mengharungi perlawanan seterusnya bertemu PKNS FC di laman sendiri esok.

“Kami perlu teruskan usaha kerana perjalanan liga masih panjang. Tiga mata yang dikutip di Darul Aman ini bukanlah satu perkara yang mudah kerana Kedah adalah salah sebuah pasukan yang terbaik di Malaysia selain JDT (Johor Darul Ta’zim).

“Saya ingin ucapkan tahniah kepada semua pemain saya yang telah menjalankan tanggungjawab dengan cemerlang pada malam ini. Kemenangan ini hasil kerjasama semua pemain yang bermain dengan semangat satu pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 10:00 AM