KANE (kiri) gembira di Tottenham namun mungkin berhijrah jika terima tawaran lumayan. -Foto EPA
KANE (kiri) gembira di Tottenham namun mungkin berhijrah jika terima tawaran lumayan. -Foto EPA
Reuters

LONDON: Penyerang England, Harry Kane gembira di Tottenham Hotspur tetapi hanya dia boleh menjawab persoalan mengenai komitmennya bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, kata pengurus Mauricio Pochettino.

Kane tampil dengan prestasi mengagumkan buat kelab yang disertainya sejak remaja dan sudah menjaringkan 100 gol dalam EPL ketika Tottenham mencatat keputusan seri 2-2 dengan Liverpool, Ahad lalu.

Pemain berusia 24 tahun itu menandatangani kontrak jangka panjang untuk kekal sehingga 2022 tetapi rakan sepasukannya, Wayne Rooney memberitahu Sky Sports bahawa Kane mungkin menimbangkan mengenai masa depannya jika Tottenham tidak menjulang trofi.

Ketika ditanya mengenai komitmen masa panjang Kane, Pochettino berkata: “Ia adalah soalan yang perlu ditujukan kepadanya, bukan saya.

“Sudah tentu, dia mahu terus menjaringkan gol dan memenangi gelaran dan tiada apa saya boleh katakan mengenai perkara ini.”

Prestasi cemerlang Kane menarik minat kelab gergasi Eropah dengan Real Madrid menerusi bekas presidennya, Ramon Calderon berkata pada Oktober lalu mereka akan cuba mendapatkan tandatangannya.

“Dia gembira di sini dan dia mencintai Tottenham tetapi ini adalah soalan berbentuk peribadi, mengenai apa yang difikirkan dan bagaimana dia rasa. Saya tidak boleh memberi jawapan bagi pihaknya.”

Sementara itu, Pochettino berkata, peningkatan kawalan terhadap keputusan pengadil termasuk penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) tidak banyak membantu.

Tottenham dianugerahkan dua penalti termasuk satu pada minit ke-95 ketika pertemuan dengan Liverpool manakala pemain tengah, Dele Alli dilayangkan kad kuning kerana sengaja merebahkan badan.

Bos Liverpool Juergen Klopp berang dengan kualiti pengadilan tetapi Pochettino bernada lebih positif terhadap pengadil, Jon Moss dan pembantunya.

“Kini kita fokus kepada perincian yang kecil. Saya bimbang, Ia adalah sukan yang kita cintai, sukan yang penuh bersemangat yang orang ramai gemar untuk saksikan di seluruh dunia. 

“Kini kita didesak dengan penggunaan struktur yang amat tegas seperti VAR dengan terlalu banyak fokus terhadap aksi-aksi yang kecil seperti ini,” katanya.

Tottenham akan menanti kunjungan Arsenal dalam aksi liga di Wembley, Sabtu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 4:30 PM