SELANGOR berkongsi stadium dengan Kuala Lumpur.
SELANGOR berkongsi stadium dengan Kuala Lumpur.
Aziman Rosdi


PERKONGSIAN stadium antara dua pasukan musuh tradisi Lembah Klang, Selangor dan Kuala Lumpur musim ini akan menjadikan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) di Cheras seperti Stadio Giuseppe Meazza atau San Siro di Itali.

Segalanya sudah pasti buat Selangor untuk menjadikan gelanggang Kuala Lumpur sebagai laman sendiri selepas permohonan mereka menggunakan stadium yang baru dibaik pulih itu mendapat lampu hijau Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) hari ini.

Jika di Itali, San Siro menjadi tuan rumah kepada kelab gergasi AC Milan dan Inter Milan dan kini Selangor dan Kuala Lumpur berkongsi stadium sama.

Bagi jurulatih Red Giants, P Maniam, biarpun masih berharap anak buahnya dapat beraksi di gelanggang keramat Stadium Shah Alam, namun Stadium KLFA juga boleh mencetuskan keistimewaan tersendiri.

“Memang kami masih berharap untuk beraksi di gelanggang sendiri, Stadium Shah Alam, tapi kami tidak boleh terus merungut sebaliknya bersedia beraksi di mana saja gelanggang yang ditetapkan.

“Pemain faham situasi ini dan mereka sudah sedia untuk beraksi di Stadium KLFA atau Stadium Selayang sekalipun. Bukan satu masalah untuk berkongsi stadium dengan pasukan musuh setempat. Jika di Itali, AC Milan dan Inter Milan juga berkongsi stadium.

“Ini akan memberi publisiti yang baik dan mungkin ini akan menarik lebih ramai penyokong datang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Berikutan kemelut antara kerajaan negeri dan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), skuad kendalian Maniam tidak dibenarkan beraksi di Stadium Shah Alam sejak musim lalu hingga memaksa mereka beralih ke Stadium Selayang.

Bagaimanapun atas masalah lampu limpah, Stadium Selayang hanya boleh digunakan pada sebelah petang jika Selangor mahu menggunakan stadium itu musim ini.

Selangor akan bertandang ke Stadium KLFA bagi aksi pembukaan Liga Super Ahad ini, iaitu pertemuan pertama sejak Kuala Lumpur dinaik taraf ke saingan elit selepas enam tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 5:41 PM