NOVAK DJOKOVIC
NOVAK DJOKOVIC

MELBOURNE: Pemenang 12 Grand Slam, Novak Djokovic mahu berusaha mewujudkan kesatuan pemain bagi menuntut jumlah wang kemenangan lebih tinggi, kata satu laporan yang dikeluarkan hari ini.

Pemain Serbia itu yang juga presiden majlis pemain Jelajah ATP, mengadakan mesyuarat pemain di Melbourne, Jumaat lalu yang turut dihadiri Roger Federer, Rafael Nadal dan Andy Murray.

London Times berkata, Djokovic dalam ucapannya meminta pegawai ATP dan bukan pemain meninggalkan bilik mesyuarat sebelum memanggil seorang profesor Australia yang mahir dengan undang-undang pekerjaan.

Menurut akhbar Telegraph, Djokovic menyuarakan rasa tidak puas hatinya apabila Grand Slam hanya membayar sebanyak tujuh peratus daripada jumlah keuntungan yang diperoleh.

Dia membandingkan jumlah berkenaan dengan sukan bola keranjang Amerika Syarikat yang membayar sebanyak 50 peratus daripada jumlah keuntungan sebagai wang hadiah kemenangan.

Permintaan Djokovic itu hadir selepas pengarah kejohanan Terbuka Australia, Craig Tiley menyuarakan rancangan untuk meningkatkan hadiah kemenangan pada pertandingan kali ini.

Akhbar The Times pula berkata, penubuhan kesatuan baru akan mengakibatkan kesatuan sedia ada yang ditubuhkan ATP terbatal.

ATP enggan membuat kenyataan manakala Persatuan Tenis Australia tidak memberikan sebarang maklum balas.

“Ia hanyalah keputusan, tidak lebih dari itu,” kata Kevin Anderson yang juga naib presiden majlis pemain ATP.

Beliau menambah: “Saya rasa ada kes yang perlu diperhatikan jika dilihat kepada jumlah peratusan yang dijadikan hadiah.

“Jika anda lihat kepada pemain NBA (bola keranjang) atau pemain NFL (bola sepak Amerika), anda akan dapat lihat wang tujuh angka di dalam akaun mereka dan saya tidak fikir perkara sama berlaku ke atas pemain tenis walaupun mereka layak ke undian utama Grand Slam.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 9:39 AM