BOBBY Gonzales (kanan) PKNS FC musim lalu. Foto Fail
BOBBY Gonzales (kanan) PKNS FC musim lalu. Foto Fail
Devinder Singh


SELEPAS dua kali membantu Sarawak dinaikkan pangkat ke kancah Liga Super, kepulangan Bobby Gonzales ke pasukan dengan jolokan Ngap Sayot itu buat kali ketiga diharap mencetus kejayaan yang sama musim ini.

Bekas penyerang kebangsaan itu menjaringkan 15 dan 20 gol pada musim 2011 dan 2013 yang setiap kalinya membawa Sarawak kembali ke saingan tertinggi Liga Malaysia itu.

Selepas berkelana ke PKNS FC musim lalu, Bobby kembali menyarung jersi pasukan yang menghuni tangga tercorot Liga Super itu sebagai antara seorang daripada sembilan pemain baharu yang dipikat ketua jurulatih, Ian Gillan musim ini.

Bobby, 33, menyertai Benedict Martin dan penjaga Iqbal Suhaimi kembali Sarawak manakala muka baharu termasuk pemain tengah Serbia, Nebojsa Marinkovic, Sabre Mat Abu dan pemain naturalisasi, Shazalee Ramlee.

Pasukan Sarawak tiba di Kuala Lumpur, Jumaat lalu dan menewaskan pasukan dari Liga Perdana, MISC-MIFA 2-1 dalam aksi persahabatan di Bukit Jelutong, semalam dengan kedua-dua gol disumbangkan Hairul Mokhtar.

Gillan berkata, pasukan kendaliannya secara perlahan-lahan mula meraih momentum menjelang aksi pembukaan Liga Perdana musim ini dengan menanti kunjungan Kuantan FA di Kuching, 2 Februari ini.

“Kami memberikan semua pemain tempoh 45 minit untuk bermain dan ia perlawanan yang bagus, kompetitif,” kata pengendali kelahiran Australia itu mengulas perlawanan menentang MISC-MIFA.

“Hairol menjaringkan dua gol daripada sepakan sudut dan sepakan percuma Nebo dan sejujur-jujurnya, kami boleh menjaringkan lima gol. Latihan yang hebat dan lebih kerja keras diperlukan bagi meningkatkan skuad.”

Sarawak meneruskan jelajah pramusim menentang Universiti Teknologi Mara di Stadium UiTM Shah Alam, esok sebelum dijadual bertemu FELDA United di Kompleks Latihan BSN Bangi, Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 7:08 PM