JURULATIH Perak Durakovic. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
JURULATIH Perak Durakovic. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Azizan Hashim


PENCARIAN Perak terhadap tiga awang import bagi memantapkan pasukan The Bos Gaurus untuk menghadapi Liga M 2018 dijangka berakhir minggu hadapan.

Jurulatih Mehmet Durakovic optimistik dapat menyelesaikan isu itu selepas Perak mengadakan dua perlawanan persahabatan di Lembah Klang hujung minggu ini.

“Pasukan Perak akan lengkap selepas dua perlawanan persahabatan iaitu dengan FELCRA FC dan sebuah pasukan yang belum disahkan,” katanya.

Walaupun tidak menyatakannya secara terang, jelas jurulatih itu sudah mempunyai calon dan sedang menguji mereka.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti pemain terbabit sehingga mereka sah memetrai ikatan dengan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA).

” Saya tidak boleh beri butiran lanjut kerana mereka belum sah menjadi milik Perak,” katanya.

Lagipun Mehmet berasakan lebih tepat jika pengumuman mengenai pengambilan pemain import itu dibuat oleh PAFA.

Begitupun menurut sumber, seorang pemain Brazil, Filipina dan Korea Selatan kini berada dalam radar Perak bagi digandingkan dengan dua pemain musim lalu iaitu Gilmar Da Silva Filho dan Leandro Dos Santos Oliviera.

Mengenai persiapan pasukan Mehmet berkata, Perak sepatutnya menyertai satu kejohanan persahabatan di Sabah tetapi ia dibatalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 2:52 PM