KLOPP tekad hadiahkan penyokong Reds trofi musim depan.
KLOPP tekad hadiahkan penyokong Reds trofi musim depan.
Agensi

London: Jurgen Klopp menyifatkan tahun 2017 sebagai tahun yang tidak perlu diragukan terhadap pencapaian Liverpool, namun kelab itu perlu berusaha lebih keras untuk melakarkan lebih banyak kejayaan bagi tempoh 12 bulan akan datang.

The Reds kembali beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara apabila menamatkan saingan di kedudukan tempat keempat Liga Perdana Inggeris musim lalu selain melakar kemenangan play-off ke atas Hoffenheim.

Malah, skuad bimbingan Klopp juga mara ke kelompok 16 terakhir pertembungan kelab elit Eropah dan akan bertemu menentang FC Porto Februari ini dan mereka perlu memastikan kemenangan jika ingin terus menguasai kelompok teratas saingan itu.

Liverpool akan memulakan babak kedua liga melayan kunjungan Swansea City di Anfield dan pengurus itu perlu menilai sepenuhnya perkembangan pasukannya sepanjang tahun ini.

“Ia mungkin akan menjadi tahun paling penting kepada kelab. Pasukan dan penyokong perlu bersatu. Kami menyedari betapa pentingnya perkembangan yang berterusan,” kata Klopp ketika di temu bual dalam program khas ‘This is Anfield’.

“Tiada seorang pun pernah mengakui kalah sehinggalah loceng penamat dibunyikan namun secara realistik Manchester City berada di kedudukan terbaik.

“Kami tidak mahu menggunakan sebarang alasan untuk tidak mempamerkan prestasi ke tahap maksimum. Kemenangan amat penting kepada kami semua kerana setiap seorang daripada kami begitu mengambil berat tentang kelab ini.

“Buang segala sikap dan sifat yang buruk ke luar.

“Kami mementingkan perkembangan dan pembangunan dan cita-cita kami melebihi semuanya.

“Kami perlu mengejar trofi kejuaraan dan impian yang perlu dicapai musim depan. Pasukan dan pemain mempunyai misi penting daripada sekadar berhibur.

“Memang benar kami berkerja setiap hari kerana kami cintakan bola sepak dan kami percaya bermain perlawanan bola sepak adalah satu yang mencabar dan positif. Tapi, itu sebahagian daripada daripada kami semua.” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 10:00 AM