ADAM minati sukan basikal lasak sejak berusia tujuh tahun.
ADAM minati sukan basikal lasak sejak berusia tujuh tahun.
Amrullah Abdul Karim


Rawang: Adam Hazim Kamaruddin, 11, dari pasukan Taman Garing Utama (TGU) Bikers menjadi peserta termuda yang menyertai Harian Metro Mountain Bike Grand Prix (HMMTBGP) 2017.

Dia yang meminati sukan basikal lasak sejak berusia tujuh tahun, mula mengikuti jejak bapanya, Kamaruddin Kasau, 46, yang turut menjadi peserta kayuhan perlumbaan itu, Sabtu lalu.

Adam berkata, dia tidak meletakkan sebarang sasaran kemenangan namun cukup sekadar menyertai acara kayuhan yang besar serta menghabiskan perlumbaan.

“Saya memang minat kayuh basikal lasak dan sudah tiga kali sertai acara besar sebegini.

“Namun, kali ini paling sukar kerana laluannya berbukit, licin, berakar dan banyak rintangan,” katanya selepas berjaya tiba di garisan penamat.

Menurut Adam, dia kerap mengikut bapanya berbasikal dan berlatih di beberapa laluan basikal di Sungai Buaya namun tidak menjangka tahap kesukaran sebenar trek HMMTBGP.

Seorang lagi peserta muda, Zamirul Azrezza Zulkefli, 12, dari pasukan Cat Road Cycling Team (CR City) berkata, dia turut mengikut jejak abang dan bapanya yang turut menyertai sukan basikal lasak.

Malah, katanya, dia bersama bapanya, Zulkefli Ahmad, 49, antara lima peserta yang mewakili CR City dalam HMMTBGP itu.

ZAMIRUL Azrezza Zulkefli
ZAMIRUL Azrezza Zulkefli

“Saya memang minat sukan ini dan mahu merasai pengalaman berlumba bersama pelumba handalan dengan kumpulan yang ramai seumpama ini.

“Tidak kira apa halangan dan cara sekali pun, saya mahu menghabiskan perlumbaan ini,” katanya yang berjaya menghabiskan perlumbaan walaupun cedera akibat terjatuh.

Menurut anak bongsu daripada lima beradik itu, dia mula didedahkan dengan basikal lasak sejak berusia enam tahun.

Abang Zamirul Azrezza iaitu Zamirul Adlisham, 19, turut aktif namun tidak dapat menyertai HMMTBGP kerana terbabit dengan Tour De Siak di Indonesia pada hari sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 9:40 AM