AZIZULHASNI tidak beraksi Piala Dunia di Kanada, Chile dan Belarus.
AZIZULHASNI tidak beraksi Piala Dunia di Kanada, Chile dan Belarus.
Azlan Muhammad Zain


TIGA pelumba utama trek negara diketuai Azizulhasni Awang bersama Fatehah Mustapa dan Shah Firdaus Sahrom tidak akan beraksi pada baki tiga siri Piala Dunia di Kanada, Chile dan Belarus yang bermula awal bulan depan.

Sebaliknya peluang akan diberikan kepada dua pelumba Sime Darby Foundation, Muhamad Khairil Nizam Rasol dan Farina Shawati Mohd Adnan untuk tampil pada siri ketiga Piala Dunia di Milton (2-3 Disember) disusuli siri keempat di Santiago (9-10 Disember).

“Bagi membolehkan pelumba Malaysia layak ke Kejohanan Dunia di Belanda pada Februari tahun depan, kita perlu mempunyai wakil pada setiap siri Piala Dunia yang dianjurkan. Jadi bagi siri ketiga dan keempat, Khairil Nizam dan Farina Shawati akan menggalas cabaran negara.

“Mereka akan menyertai acara keirin dan pecut individu. Manakala siri kelima di Minsk, Belarus pada Januari tahun depan, masih belum diputuskan namun mungkin kedua-dua pelumba tersebut juga akan dihantar.

“Manakala seorang lagi pelumba yang berpangkalan di Melbourne, Shariz Efendi Mohd Shahrin masih belum boleh menyertai siri Piala Dunia kerana tidak mempunyai mata yang mencukupi,” menurut Pengurus Sukan Berbasikal bagi Program Podium, Mohd Izham Mohamad.

Tambah Izham, Azizulhasni, Fatehah dan Shah Firdaus akan memberi tumpuan bagi menghadapi Kejohanan Dunia, Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Kejohanan Berbasikal Asia.

Pada siri pertama dan kedua Piala Dunia yang berlangsung awal bulan ini, nasib tidak menyebelahi Azizulhasni dan Fatehah yang terbabit kemalangan dalam acara keirin manakala Shah Firdaus masih mencari rentak untuk kembali mencabar di pentas antarabangsa.

Farina Shawati dan Mohd Fadhil Zonis turut tampil buat kali pertama di siri Piala Dunia di Poland dan Manchester namun lebih kepada aspek pendedahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2017 @ 10:54 PM