Roger meraih pendapatan lebih tinggi daripada Woods. FOTO EPA/AFP
Roger meraih pendapatan lebih tinggi daripada Woods. FOTO EPA/AFP
Daily Mail

PEMAIN tenis handalan dunia, Roger Federer kini bergelar atlet berpendapatan tertinggi di dunia mengatasi pemain golf legenda, Tiger Woods.

Jumlah dikira menerusi hadiah kemenangan diraih pemain terbabit dalam pertandingan kompetitif.

Bintang Switzerland yang juga ikon sukan tenis itu mengumpul pendapatan hadiah menerusi kemenangan sepanjang kariernya.

Kejayaan terbaru hadir hasil kemenangan tiga set menewaskan pemain Jerman Alexander Zverev pada perlawanan kedua peringkat kumpulan pada pusingan akhir ATP di London.

Federer mengumpul hadiah karier melebihi USD110.3 juta (RM460 juta).

Pendapatan Federer mengatasi pendahulu hadiah kemenangan tertinggi sebelum ini, Woods yang mengumpul sebanyak USD110 juta (RM459 juta) dalam kariernya, menurut laporan Forbes.

Woods, pemenang 14 kali kejuaraan utama mengalami penurunan prestasi kebelakangan ini disebabkan kecederaan berpanjangan dan masalah pukulan tee yang menjejaskan aksi di lapangan golf.

Federer lebih kerap tampil di gelanggang tenis pada tahap permainan konsisten serta aksi mantap sepanjang musim ini.

Dia kembali garang selepas berehat selama enam bulan akibat kecederaan dengan menjulang Grand Slam Terbuka Australia dan Wimbledon.

Maestro Swiss itu turut mengatasi pencabar tenis dari Serbia, Novak Djokovic yang berdepan pelbagai masalah dan kurang menyerlah dalam saingan kompetitif sepanjang 12 bulan lalu.

Bintang golf Ireland Utara, Rory McIlroy turut mengatasi Woods dari segi pendapatan hadiah kemenangan.

Pemain berusia 28 tahun itu meraih USD49.5 juta (RM207 juta) pada 2016, biarpun tidak memenangi sebarang kejohanan utama untuk tahun kedua berturut turut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2017 @ 10:37 PM