KEIFLI (kanan) dan Tengku Djan ketika sidang media  di Litar Antarabangsa Sepang hari ini. FOTO/ BERNAMA
KEIFLI (kanan) dan Tengku Djan ketika sidang media di Litar Antarabangsa Sepang hari ini. FOTO/ BERNAMA
Haika Khazi


RAJA drift Malaysia, Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel, sebentar tadi melahirkan keyakinan mengulangi kejayaan tahun lalu dengan muncul juara Sepang 1,000km Endurance Race 2018 (S1K) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), pada malam Sabtu ini.

Bagaimanapun, Tengku Djan dan rakan sepasukan, Keifli Othman dan seorang lagi pelumba lain yang akan mewakili pasukan R Engineering pada perlumbaan kali ini, bakal berlumba dengan menggunakan Honda Jazz berbanding PROTON Iriz ketika bersama Proton R3 Motorsports Team pada tahun lalu.

Tengku Djan berkata mereka memilih untuk menggunakan Honda Jazz kerana ia tahan lasak dan mempunyai rekod yang baik serta tidak menimbulkan banyak masalah besar sepanjang perlumbaan sebelum ini.

Berikutan itu, Tengku Djan dan rakan sepasukannya kini sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal dilalui termasuk cuaca tidak menentu dan hujan lebat yang dijangka turun sepanjang perlumbaan berlangsung Ahad ini.

“Semua pelumba pastinya mengharapkan cuaca baik dan konsisten dalam perlumbaan sebenar Ahad ini. Namun saya menjangkakan kami mungkin menghadapi cuaca hujan sekurang-kurangnya dua jam dan panas pada hari perlumbaan nanti berikutan keadaan cuaca tidak menentu sekarang.

“Kami tidak kisah sangat pasal keadaan litar basah atau kering kerana setiap pasukan mesti mempunyai tayar basah dan kering untuk kenderaan masing-masing. Tetapi kali ini cuaca sekejap hujan dan panas. Hujan panas mungkin akan menimbulkan masalah besar kepada setiap pasukan kerana semua rancangan mereka akan lari,” katanya pada sidang sempena perlumbaan S1K di sini, sebentar tadi.

Perlumbaan tahun ini turut diceriakan dengan kehadiran pelakon filem Polis Evo dan pelawak terkenal Zizan Razak yang bakal berlumba dengan pasukan AFR-Mayhem Racing.

Mengulas lanjut, Tengku Djan berkata beliau gembira kerana mempunyai rakan sepasukan seperti Keifli yang mempunyai cita rasa dan gaya pemanduan hampir sama sekali gus menjimatkan masa jurutera untuk mengubah suai kenderaan pada hari perlumbaan sebenar nanti.

Bagaimanapun, Tengku Djan menegaskan mereka tetap perlu berwaspada dengan kehebatan pasukan lain yang tidak kurang hebatnya.

“Kami akan cuba lakukan yang terbaik dan berharap kereta tiada masalah biarpun tempoh perlumbaan lama iaitu sembilan jam dengan jarak 1,000km,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 6:12 PM