PEI Jing (kiri) dan Kian Meng tak gentar berdepan Tontowi-Liliyana .  FOTO/OSMAN ADNAN
PEI Jing (kiri) dan Kian Meng tak gentar berdepan Tontowi-Liliyana . FOTO/OSMAN ADNAN
Ferzalfie Fauzi


SEBAGAI wakil tunggal di Terbuka Perancis, pasangan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing bersedia untuk melakukan kejutan ke atas pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir menjelang aksi suku akhir awal pagi esok.

Kian Meng-Pei Jing awal pagi ini tidak berdepan masalah untuk mara ke suku akhir selepas menumpaskan wakil tuan rumah, Ronan Labar-Audrey Fontaine 12-21, 21-11, 21-11 di Stade Pierre de Coubertin, Paris.

Bagaimanapun, Pei Jing mengakui mereka masih lagi belum memberikan permainan terbaik walaupun berjaya memenangi aksi pusingan kedua.

“Pada perlawanan set pertama kami bermain mengikut rentak mereka dan terlalu cepat mahu menang. Kami tidak sabar. Jadi pada set kedua kami perlahan-lahan untuk mendapatkan semula rentak yang betul,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya, mereka mula mendapat keyakinan pada set ketiga apabila sudah berjaya mempamerkan rentak permainan yang betul.

“Bagi aksi bertemu Tontowi-Liliyana, rekod pertemuan kami 1-1. Mereka hanya memiliki kelebihan dari segi pengalaman tapi kami akan berikan permainan terbaik dan memberi tentangan sengit sepanjang perlawanan,” kata pemain kelahiran Kuantan itu.

Sementara itu, pasangan beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Tan Wee Kiong tidak berjaya meneruskan rentak kemenangan apabila tumpas kepada pilihan kedua dari Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen 16-21, 21-19, 19-21.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 10:49 PM