Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Pengendali Selangor, P Maniam mengaku sambutan Deepavali kali ini akan lebih bermakna jika pemainnya mampu meraih tiga mata pada aksi terakhir Liga Super bertemu Pulau Pinang sekali gus membolehkan mereka menamatkan kedudukan di kelompok lima terbaik musim ini.

Jelas bekas pemain Red Giants itu, sambutan Deepavali yang diraikan di rumah ibunya di Pandamaran, Klang cukup meriah apabila semua lapan adik beradiknya pulang meraikan bersama ibu tercinta.

“(Deepavali) tahun ini macam tahun sebelumnya, semua adik beradik akan berkumpul di rumah ibu kami.

“Selepas bermaaf-maafan, kami akan berkunjung ke rumah keluarga terdekat,” katanya ketika ditemui semalam.

“Walaupun agak sibuk dengan jadual latihan dan perlawanan bersama Selangor, saya dapat juga meluangkan sedikit masa bersama anak-anak untuk melakukan persiapan Deepavali.

“Jumaat ini, saya akan kembali sibuk kerana kami akan mengadakan perlawanan persahabatan sebagai persediaan sebelum aksi menentang Pulau Pinang nanti.

“Kalau boleh, saya mahukan kemenangan untuk memperbaiki kedudukan dalam liga dan cuba menempatkan pasukan di kelompok lima terbaik. Jika berjaya, saya anggap itu adalah hadiah Deepavali paling istimewa tahun ini,” katanya.

MANIAM bersama keluarga menikmati hidangan istimewa sempena sambutan Deepavali. -Foto MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT
MANIAM bersama keluarga menikmati hidangan istimewa sempena sambutan Deepavali. -Foto MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT

Ketika ini, Selangor berada di tangga keenam Liga Super selepas mengumpul 30 mata.

Mereka berpeluang untuk menamatkan kempen di posisi lima terbaik dengan syarat harus meraih tiga mata di Stadium Negeri Pulau Pinang pada 28 Oktober ini.

Tegas Maniam, meskipun skuad Harimau Kumbang sudah sah tersingkir ke saingan Liga Perdana musim depan, itu bukannya jaminan buat pemainnya mendapat laluan mudah dalam pertemuan itu.

“Kebimbangan utama saya adalah soal kesilapan mudah pemain, terutama apabila mendahului lawan.

“Saya sudah berpesan ketika latihan supaya pemain fokus sepanjang perlawanan dan tidak melakukan kesilapan.

“Saya berharap mereka ingat pesanan itu, kerana kami sedang cuba untuk menamatkan saingan di kelompok lima teratas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 4:22 PM
MANIAM (duduk tengah) menyambut Hari Deepavali bersama ahli keluarga tersayang. -Foto MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT
MANIAM (duduk tengah) menyambut Hari Deepavali bersama ahli keluarga tersayang. -Foto MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT