FROST tinggalkan BAM 11 September lalu.
FROST tinggalkan BAM 11 September lalu.
Helmi Talkah


KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka mampu menikmati penjimatan yang banyak dari aspek pembayaran gaji susulan peletakan jawatan pengarah teknikal badan induk itu, Morten Frost Hansen, 11 September lalu.

Difahamkan Frost menerima gaji AS$20,000 (RM84,000) sebulan yang dibayar KBS dan BAM.

Susulan keputusan bekas pemain Denmark itu meletak jawatan, perbelanjaan itu dilihat boleh disalurkan bagi menampung kos pembangunan sukan badminton di Malaysia terutama di peringkat akar umbi.

Bekas pemain perseorangan lelaki kebangsaan, Rashid Sidek, berkata pembayaran gaji tinggi tidak semestinya mampu menghasilkan keputusan dimahukan dan hakikat itu sudah dibuktikan Persatuan Bulu Tangkis Seluruh Indonesia (PBSI).

Katanya, PBSI tidak mengeluarkan perbelanjaan tinggi untuk struktur kejurulatihan badan induk itu apabila hanya mengambil bekas pemain negara berkenaan untuk menjadi jurulatih dan mereka tetap berjaya melahirkan juara dunia dan Olimpik.

“Sekarang Frost sudah tiada dan peruntukan untuk gajinya itu boleh disalurkan kepada program pembangunan terutama peringkat akar umbi. Untuk tempoh setahun kita boleh adakan banyak kejohanan untuk pemain remaja. KBS dan BAM boleh jimat banyak dalam perkara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 9:53 PM