DEMBELE mungkin bergelar pemain kedua termahal dunia. -Foto AFP
DEMBELE mungkin bergelar pemain kedua termahal dunia. -Foto AFP
AFP

MADRID: Ousmane Dembele mungkin muncul pemain kedua termahal dalam sejarah ketika laporan mendakwa Barcelona akhirnya bersetuju dengan perjanjian yang boleh meningkat kepada 150 juta euro (RM756 juta) terhadap pemain berusia 20 tahun yang mahu berpindah itu.

Menurut laporan media di Sepanyol, Perancis dan Jerman, Barca bersedia memecah rekod pembelian pemain mereka dengan tawaran asal 120 juta euro (RM605 juta) selain tambahan 30 juta euro (RM151 juta).

“Kami semakin hampir membuat satu keputusan walaupun ia belum muktamad lagi,” kata pengarah urusan Dortmund, Hans-Joachim Watzke sekali gus menafikan dakwaan perjanjian sudah dimeterai antara pengarah kedua-dua kelab itu ketika majlis undian Liga Juara-Juara di Monaco, awal pagi tadi.

“Kami bukannya kelab yang berurusan secara khalayak, kami hanya boleh menyatakan tiada sebarang perjanjian konkrit.”

Dembele, yang menyertai Dortmund dengan harga 15 juta euro (RM76 juta) dari Rennes tahun lalu, digantung oleh Dortmund sejak dia memboikot latihan pada 10 Ogos lalu kerana memprotes selepas kelab Jerman itu menolak bidaan pertama Barca.

“Kelab ini bekerja rapat dengan pemain dan apabila ada keputusan muktamad kami akan membuat pengumuman rasmi menjelaskan situasi itu,” kata pengurus besar Barca, Pep Segura.

Akhbar Jerman, Bild melaporkan Dortmund mungkin akan membuat pengumuman rasmi petang ini.

Akhbar sukan berpangkalan di Barcelona, Mundo Deportivo mendakwa Barca berharap memperkenalkan Dembele di Nou Camp pada Ahad atau Isnin ini.

Kemelut itu turut menjejas tempat Dembele dalam skuad Perancis bagi aksi kelayakan Piala Dunia menentang Belanda dan Luxembourg minggu depan.

“Ousmane tidak berlatih selama dua minggu dan dia menanti sama ada perpindahan itu akan berlaku atau sebaliknya,” kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 9:17 AM