JOHNATHAN WONG
JOHNATHAN WONG
Aziman Rosdi


KESILAPAN pada tembakan terakhir menghancurkan harapan atlet negara Johnathan Wong untuk merangkul pingat emas acara 50 meter pistol individu lelaki apabila dia tewas kepada penembak Thailand Natphanlert Auapinyakul dengan hanya perbezaan 1.7 mata pada final di Lapang Sasar Menembak Subang, hari ini.

Jurang mata antara Johnathan dan Natpahanlert tidak jauh selepas dia berjaya membidik 9.6 mata pada tembakan pertama di pusingan akhir ketika lawannya itu mencatat 8.7 mata.

Bagaimanapun kesilapan dilakukan penembak negara berusia 25 tahun itu apabila gugup di tembakan terakhir dengan catatan 8.2 mata manakala Natpahanlert 8.9 mata untuk rekod baru final Sukan SEA, 225.2 mata keseluruhan.

Johnathan hanya mampu memperbaiki pencapaian gangsa dua tahun lalu di Singapura dengan 223.5 mata.

“Saya tidak melakukan tembakan dengan baik pada awal tapi kemudian bertambah baik sehingga penentuan dua penembak terakhir.

“Pada tembakan terakhir saya membuat kesilapan, saya gugup apabila dia melepaskan tembakan dulu dan kemudian saya dengar jeritan penyokong lalu saya terus hilang fokus.

“Memang pingat perak ini satu pencapaian baik tapi sasaran saya untuk mendapatkan pingat emas sebab kali ini kita bertanding di Malaysia namun saya sudah cuba,” katanya.

Gangsa dalam acara ini dimenangi atlet Myanmar Kyaw Swar Win dengan mengumpul 205.2 mata manakala pemenang perak Sukan Olimpik Hoang Xuan Vinh dari Vietnam tersingkir awal di pusingan akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 4:02 PM