BRIGHTON (kanan) ikat Izquierdo empat tahun.
BRIGHTON (kanan) ikat Izquierdo empat tahun.
AFP

LONDON: Kelab pendatang baru Liga Perdana, Brighton & Hove Albion mengikat pemain sayap pasukan kebangsaan Colombia, Jose Izquierdo dari kelab Belgium, Club Brugge semalam dengan kontrak empat tahun dan bayaran perpindahan yang tidak didedahkan, umum kelab Inggeris itu.

Brighton sudah bersetuju dengan terma bersama Brugge dan Izquierdo lebih seminggu lalu namun terpaksa memohon permit kerja untuk mendapatkan visa UK dan mendaftarkan pemain itu, yang memecah rekod kelab buat kali ketiga pada musim panas kali ini.

“Ini satu perjanjian yang amat merumitkan, tapi saya gembira kami akhirnya mampu mengesahkan ia sudah lengkap. Saya mahu berterima kasih kepada semua yang terbabit kerana kerja keras mereka dan saya gembira Jose boleh memulakan latihan,” kata jurulatih Brighton, Chris Hughton.

Bergantung kepada sijil pelepasan antarabangsa, Izquierdo mungkin boleh melakukan penampilan sulung pada aksi Piala Liga Inggeris menentang Barnet, awal pagi Rabu ini.

Sepanjang tiga tahun di Belgium, pemain berusia 25 tahun itu membantu Brugge memenangi Piala Belgium dan liga Belgium.

Dia dijangka dinamakan dalam skuad Colombia kendalian Jose Pekerman bagi aksi kelayakan Piala Dunia menentang Venezuela pada 31 Ogos ini dan di laman sendiri menentang Brazil pada 5 September depan.

Brighton berdepan permulaan buruk dalam Liga Perdana, tewas kedua-dua perlawanan pertama dan belum menjaringkan sebarang gol.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 9:34 AM