HOANG XUAN VINH
HOANG XUAN VINH
Mohd Khairie Khalid


KEHADIRAN pemenang pingat emas 10 meter (m) Air Pistol individu Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil 2016 Hoang Xuan Vinh pasti menyajikan persaingan sengit antara penembak di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Kehebatan Xuan Vinh dari Vietnam bukan saja membabitkan bidikan jarak dekat namun dia juga memiliki keistimewaan dalam tembakan pistol sejauh 50m individu dan sebagai bukti atlet berusia 42 tahun itu turut merangkul pingat perak acara terbabit di Olimpik Rio.

Namun namanya yang gah serta bidikan sempurna sedikit pun tidak menjatuhkan semangat juang penembak negara Eddy Chew yang pernah memenangi pingat perak acara 10m Air Pistol individu lelaki dan emas pistol 50m di Sukan SEA Myanmar 2013.

Bagi Eddy, tiada perkara penting buat saat getir ini melainkan memikirkan mengenai prestasi diri sendiri kerana acara yang bakal disertai dijadual bermula pada Selasa depan.

“Xuan Vinh akan beraksi untuk acara saya iaitu 10m dan 50m di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017. Saya tetap OK walaupun dia hadir bersaing dalam acara ini.

“Saya akan cuba berikan saingan tetapi dalam masa sama kena jaga persembahan diri juga nanti, apa yang penting fokus kepada diri sendiri.

“Bukan apa risau bila sibuk fikir hendak kalahkan dia, tembakan diri sendiri tak menjadi,” katanya yang pernah menewaskan penembak handalan itu ketika beraksi di Sukan SEA Myanmar 2013 dan Kejohanan Menembak Asia Tenggara 2015.

Selain Eddy, Olimpian negara Jonathan Wong Guanjie turut dijadual bertemu penembak berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 5:46 PM