NEYMAR (kanan) pernah menyatakan hasrat ke PSG kepada Pique.
NEYMAR (kanan) pernah menyatakan hasrat ke PSG kepada Pique.
AFP

Barcelona: Gerard Pique sudah tahu Neymar memutuskan untuk meninggalkan Barcelona lama sebelum pemain Brazil itu melengkapkan perpindahan dengan rekod dunia 222 juta euro (RM1.1 bilion) ke Paris Saint-Germain, akui pertahanan Barcelona itu semalam.

Pique dianggap sebagai memperolok-olokkan apabila mengepos “dia kekal” dengan gambar dia dan Neymar bersama ketika pramusim Barcelona di Amerika Syarikat pada 23 Julai lalu.

Bagaimanapun, Pique mendakwa dia menggunakan media sosial sebagai jalan terakhir untuk mengekalkan Neymar bersama kelab gergasi Catalunya itu selepas pemain Brazil itu membayangkan dia akan meninggalkan Nou Camp ketika majlis perkahwinan Lionel Messi pada 30 Jun lalu.

“Ada sekelompok pemain yang cuba meyakinkannya supaya kekal dan pada hari saya mengepos Twitter ‘dia kekal’ saya sudah tahu dia akan pergi,” kata Pique menjelang aksi pertama Piala Super Sepanyol menentang musuh tradisi Real Madrid.

“Saya sedar itulah peluang terakhir buat saya, menggunakan media sosial dan pandangan umum untuk cuba dan memujuknya supaya kekal.”

Pemain kebangsaan Sepanyol itu menegaskan dia tidak menyesal sekalipun Neymar berang seketika dengan pos itu.

“Saya hanya cuba membantu kelab ini, cuba mengekalkan pemain yang bagi saya seorang yang unik, dengan bakat unik,” ujar Pique.

“Saya tahu ia amat sukar kerana keputusan itu sudah lama dibuatnya dan ia agak mustahil tapi sekurang-kurangnya saya sudah mencuba.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 12:20 PM