NEYMAR (kiri) cuba disekat pamain Manchester United Paul Pogba dalam aksi di Maryland, Amerika Syarikat.
NEYMAR (kiri) cuba disekat pamain Manchester United Paul Pogba dalam aksi di Maryland, Amerika Syarikat.
Agensi

Miami: Ivan Rakitic berkata, pemain Barcelona faham dengan dilema yang sedang dialami Neymar dan sedia menghormati apa saja keputusan dibuat bintang Brazil itu berhubung masa depannya.

Sumber memberitahu ESPN FC bahawa Neymar menerima tawaran lumayan untuk bermain di Paris Saint-Germain dan awal minggu ini, Gerard Pique mengesahkan pemain Barca sedang cuba memujuknya supaya tidak berpindah.

Ketika ini, Neymar masih bersama kelab Catalan itu di Amerika Syarikat dan dia sudah meledak tiga gol ketika menentang Juventus serta Manchester United.

“Ya,” kata Rakitic kepada wartawan di Universiti Barry di Miami ketika ditanya sama ada dia faham dengan kedudukan Neymar. “Ia keputusan yang sukar dan kami semua memahaminya.

“Kami mahukan dia terus kekal tetapi itu saja yang boleh kami lakukan. Kami faham dan menghormati keputusannya. Saya harap dia mempunyai pandangan sama dengan kami. Dia tahu apa yang ada dalam kepala kami. Dia memainkan peranan penting di dalam bilik persalinan, salah seorang anggota keluarga kami dan kami mahu dia kekal.”

Ditanya sama ada Neymar mungkin melakukan kesilapan dengan berpindah ke Paris, Rakitic menambah: “Dia lebih tahu segala-galanya.

“Apa saja keputusannya, kami akan terima. Sebagai kawan dan rakan sepasukan, saya sudah nasihatkan supaya kekal. Dia tidak akan merasai suasana sama di tempat lain. Saya harap dia kekal tetapi kami akan menyokongnya tidak kira apa juga keputusan yang diambil.”

Jika Neymar mahu berpindah, PSG perlu membayar sebanyak €222 juta (RM1.11 bilion) untuk melengkapkan perjanjian tetapi laporan di Perancis menyebut kelab Ligue 1 itu mahu mengadakan perbincangan bagi mengurangkan jumlah berkenaan.

Neymar yang menjaringkan gol tunggal ketika mengalahkan Manchester United baru-baru ini, dilihat masih lagi menjalani latihan bersama Barca di Miami kelmarin dan bakal turun menentang Real Madrid di Stadium Hard Rock minggu ini.

Dari Miami, dia akan ke China dan tidak pulang ke Sepanyol bersama rakan sepasukannya yang lain bagi memenuhi komitmen peribadi dan penajanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2017 @ 4:41 AM