Kingston, Jamaica: Bintang pecut Usain Bolt (gambar) antara tiga pemenang pingat emas Olimpik Rio mengetuai senarai 59 atlet dalam pasukan Jamaica yang disenaraikan bagi Kejohanan Olahraga Dunia di London, bulan depan.

Bolt menyatakan dia berhasrat berlari dalam acara 100m dan 4x100m pada kejohanan dunia, kejohanan terakhirnya sebelum bersara.

Dia seorang daripada dua penyandang juara dunia, di samping jaguh pecut berpagar Danielle Williams, yang akan mempertahankan kejuaraan dimenangi mereka di China dua tahun lalu.

Elaine Thompson, yang memenangi kejuaraan berganda pecut Olimpik di Rio tahun lalu dan Omar McLeod, lelaki pertama dari kepulauan Caribbean memenangi emas 110m lari berpagar, turut berada dalam pasukan yang diputuskan Persatuan Pentadbiran Olahraga Jamaica.

Pasukan itu turut termasuk pelari pecut berpagar Hansle Parchment, atlet lontar peluru O’Dayne Richards dan pelari 400m Shericka Jackson, semuanya pemenang pingat individu di Beijing dua tahun lalu.

Fedrick Dacres, atlet melempar cakera lelaki kedua terbaik dunia, akan menyertai Kejohanan Dunia kali kedua. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Julai 2017 @ 11:22 AM