AFP

Erin, Amerika Syarikat: Brian Harman (gambar) mendahului satu pukulan pada edisi ke-117 Terbuka Amerika Syarikat selepas pusingan ketiga semalam dengan Justin Thomas menyamai rekod kejohanan apabila melakukan 63 pukulan.

Hujan lebat semalaman di lapangan Erin Hills memberikan ruang kepada pemain melakukan birdie, membolehkan ramai pemain menghampiri kedudukan pendahulu sebaik tamat pusingan berkenaan.

Harman yang memulakan hari dengan saingan empat penjuru selaku pendahulu, mencatat lima bawah par 67 yang turut membabitkan enam birdie dan satu bogey.

Pemain berusia 30 tahun dari Georgia itu tidak pernah melepasi pusingan kedua Terbuka AS sebelum tahun ini, tersingkir pada dua percubaan sebelumnya pada 2012 dan 2015.

“Kami berjaya melepasi segala halangan,” kata Harman.

“Saya berbangga dengan keupayaan saya bertahan hari ini. Saya bermula dengan baik yang sebelum ini tidak pernah saya lakukan, ia sesuatu yang bagus.

“Saya membuat pukulan dengan baik, jatuh ke green dan itu yang anda perlukan untuk bermain dengan baik di sini.”

Pemain nombor 50 dunia itu pulang ke rumah kelab dengan 12 bawah par keseluruhan, satu pukulan mendahului Thomas, Brooks Koepka dan pemain England Tommy Fleetwood.

Keadaan lapangan yang lembut dan basah memberi peluang pemain mencatat keputusan yang lebih bagus.

Thomas memanfaatkan sepenuhnya peluang itu yang melonjak dengan mencatat rekod sembilan bawah par 63.

Pemain nombor 13 dunia berusia 24 tahun itu mencatat eagle tiga menakjubkan pada lubang ke-18 untuk melakukan catatan terendah berbanding par dalam sejarah Terbuka AS.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 11:20 AM