MISBUN kaya dengan pengalaman dalam arena badminton.
MISBUN kaya dengan pengalaman dalam arena badminton.
Datuk Seri Jalani Sidek

Beberapa hari lalu arena badminton negara ‘dihidangkan’ dengan berita kehadiran semula Datuk Misbun Sidek dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai ketua jurulatih perseorangan lelaki negara.

Selepas enam tahun meninggalkan badan induk itu, Misbun akhirnya bersetuju kembali menggalas tugas yang sudah lama ditinggalkannya itu.

Sebelum itu, ingin saya tegaskan penulisan kali ini bukan mahu berpihak kepada Misbun hanya kerana beliau abang kandung saya, tetapi apa yang mahu dikongsikan berdasarkan kepada fakta dan pemerhatian terhadapnya.

Punca utama Misbun bersetuju kembali ke BAM hanya selepas berkali-kali menerima pujukan jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei.

Fakta itu jelas menunjukkan kredibiliti Misbun yang dipandang tinggi Chong Wei. Sebab itu saya berpendapat memang hanya Misbun pada ketika ini yang layak untuk menggalas tugas ketua jurulatih perseorangan negara.

Saya fikir semua peminat badminton tempatan mengetahui siapa di sebalik kejayaan Chong Wei selama ini. Individu itu sudah tentu Misbun.

Bukan Chong Wei saja, Misbun juga pernah melahirkan jaguh lain seperti pemain adik-beradik Muhammad Hafiz dan Muhammad Roslin Hashim.

Jadi, dengan kembalinya semula gandingan Misbun-Chong Wei, saya dapat rasakan aura berbeza dalam kem badminton negara nanti.

Namun, kehadiran Misbun bukan sekadar tertumpu kepada Chong Wei, sebaliknya bakal memberi manfaat besar kepada barisan pemain perseorangan lelaki negara yang lain.

Pastinya Misbun akan mendapatkan nasihat Chong Wei atau pembantunya seperti Hendrawan untuk mengenal pasti barisan pemain lain yang mempunyai potensi besar untuk digilap bakat mereka.

Saya amat berharap kehadiran Misbun dimanfaatkan sepenuhnya barisan pemain negara lain untuk menimba ilmu di bawahnya.

Namun, bersediakah barisan pemain ini mengikuti rejim latihan dan falsafah Misbun? Sama-sama kita saksikan nanti. Harus diingat, Misbun pastinya tidak dapat membantu barisan pemain perseorangan lelaki negara meraih kejayaan besar tanpa bantuan atau sokongan pembantunya.

Kehadiran Misbun adalah sebahagian daripada cerita rombakan besar BAM terhadap barisan kejurulatihan negara yang diketuai Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria selaku presiden badan induk itu.

Saya menyokong penuh apabila bekas rakan seperjuangan ketika memenangi Piala Thomas 1992, Cheah Soon Kit diberi mandat ketua jurulatih beregu lelaki negara.

Jelas sekali dengan kredibilitinya selama ini, Soon Kit sememangnya layak menggalas tugas itu.

Cuma pastinya tugas yang dipikulnya juga cukup berat kerana selain perlu mencari barisan pemain pelapis berkualiti, beliau juga harus mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap aksi kurang konsisten beregu utama negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Perlantikan Tey Seu Bock sebagai ketua jurulatih perseorangan wanita adalah sesuatu yang baik.

Berbekalkan pengalamannya melatih barisan pemain perseorangan lelaki termasuk Chong Wei, pastinya akan dapat digunakan apabila melatih perseorangan wanita pula.

Tahniah juga kepada Wong Pei Tty yang menggalas tugas selaku ketua jurulatih beregu wanita serta Chin Eei Hui untuk beregu campuran.

Semoga dengan semua rombakan ini kita bakal menyaksikan kejayaan lebih besar daripada barisan pemain negara. Jumpa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2017 @ 11:46 PM