VELODROM Nasional Malaysia di Nilai.  FOTO Hazreen Mohamad
VELODROM Nasional Malaysia di Nilai. FOTO Hazreen Mohamad
Nurul Huda Kosnon


MALAYSIA melakar sejarah tersendiri apabila kini mampu menjadi penganjur perlumbaan trek bertaraf dunia menerusi Velodrom Nasional dan trek berbasikal BMX.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sebagai Velodrom Kelas 1, Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), ia adalah velodrom tertutup pertama di negara ini dan Asia Tenggara.

Ia turut menjadi lokasi penganjuran acara berbasikal bagi Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke -9 pada Ogos dan September ini.

"Velodrom ini dibina bagi mewujudkan prasarana bertaraf kelas dunia dengan kapasiti 2,000 penonton.

"Saya juga sudah menerima maklum balas positif termasuk trek laju dan selesa daripada ikon pelumba negara yang sudah melakukan ujian trek," katanya ketika hadir menyaksikan perasmian Velodrom Nasional di nilai, 5.15 petang, hari ini.

Perasmian disempurnakan lima legenda berbasikal negara iaitu Datuk Ng Joo Ngan, M Kumaresan, Rosman Alwi, Josiah Ng dan Jaguh Keirin Dunia, Azizulhasni Awang.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan dan jaguh berbasikal lain antaranya Yahya Ahmad, Shahrudin Jaafar, Ng Joo Pong, Rizal Tisin dan Zainun Osman.

Khairy berkata, Velodrom akan turut digunakan sebagai pendedahan terhadap peminat sukan berbasikal pada masa akan datang.

"Mereka akan diberi pendedahan berhubung sukan berbasikal di sini. Saya harap sukan berbasikal mampu diteruskan pada masa akan datang," katanya.

Velodrom Nasional dibina pada Januari 2015 mempunyai trek sepanjang 250 meter yang diperbuat daripada kayu jenis 'spruce' dengan kapasiti 1,800 penonton duduk dan 200 berdiri.

Selain trek basikal BMX di luar Velodrom yang mampu memuatkan 500 penonton, Velodrom Nasional turut dilengkapi dengan kemudahan termasuk ruang pejabat, Surau dan 20 fasiliti untuk kegunaan orang kurang upaya (OKU).

Foto I nstp

Video I Mior Azlan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2017 @ 8:59 PM