KHAIRUL (dua dari kanan), Badrul (dua dari kiri) mendahului ranking atlet pecut negara.
KHAIRUL (dua dari kanan), Badrul (dua dari kiri) mendahului ranking atlet pecut negara.

Kuala Lumpur: Tiga kejohanan terakhir sebelum temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) akan menjadi penilai prestasi barisan atlet pecut negara.

Kejohanan itu adalah Terbuka Thailand pada 12-15 Jun, Terbuka Korea (26-27 Jun) dan Kejohanan Trek dan Padang Asia di India (6-9 Julai).

Persaingan merebut slot acara 100 meter kini masih terbuka selepas catatan Nixson Kennedy 10.27 saat di Terbuka Pahang bulan lalu diputuskan tidak sah.

Perkara itu dimaklumkan Pengurus Sukan Olahraga Majlis Sukan Negara (MSN) Nor Azman Kassim yang menyaksikan acara itu berlangsung.

Azman menegaskan, penganjur tidak mengikut piawaian apabila masa direkodkan itu bukan catatan automatik.

“Masa direkodkan Nixson di UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) tidak boleh dikira. Penganjur menggunakan pelepasan secara manual ketika permulaan.

“Jadi ia tidak boleh dikira sebagai catatan masa elektronik,” katanya.

Nixson sebelum ini diumumkan pelari kedua terpantas negara di belakang pemegang rekod 100m, Khairul Hafiz Jantan.

Azman turut mengesahkan masa direkodkan Mohamad Azam Masri, 10.22s ketika di Afrika Selatan tidak diiktiraf dan perkara ini dimaklumkan dalam laman web rasmi Persekutuan Olahraga Amatur Antarabangsa (IAAF).

Seramai tujuh pelari pecut kini berada dalam radar Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sebelum dua atlet terbaik akan dipilih bagi menamatkan kemarau emas acara riben biru itu.

Berdasarkan ranking, Hafiz mendahului senarai diikuti Badrul Hisyam Abdul Manap, Nixson, Mohd Izzuddin Yahaya, Haiqal Hanafi, Muhammad Aqil Yasmin dan Azam.

Azman menegaskan pemilihan dua atlet pecut akan dinilai berdasarkan prestasi terkini yang mana tiga kejohanan itu akan menjadi pengukur sebelum senarai nama dihantar kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Kali terakhir atlet negara meraih emas di Sukan SEA adalah pada 2003 di Vietnam menerusi Nazmizan Mohamad yang meraih emas berganda acara 100 dan 200m.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 10:29 AM