BELANJAWAN 2023 perlu menitikberatkan kemudahan pelajar di IPTA.
BELANJAWAN 2023 perlu menitikberatkan kemudahan pelajar di IPTA.
Suliati Asri


BELANJAWAN 2023 adalah kunci kepada pemulihan ekonomi berikutan ketika ini rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat amat terkesan dengan kos sara hidup tinggi berpunca daripada kenaikan harga barangan khususnya barangan makanan.

Antara lapisan masyarakat yang terkesan adalah mahasiswa dan pelajar sekolah khususnya daripada kalangan B40 dan M40.

Profesor Mayda di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed berkata, universiti kini sudah memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka, namun bagaimana pula persiapan mahasiswa dalam menghadapi situasi sukar ini?

Katanya, sebagaimana yang kita sedia maklum, sebahagian besar mahasiswa bergantung sepenuhnya kepada pinjaman pengajian. Dalam masa sama, mereka juga mempunyai adik-beradik yang masih bersekolah khususnya pelajar daripada keluarga B40 dan M40.

"Dalam situasi ini, ada potensi di mana pelajar terutama B40 dan M40 'ikat perut' dan mencatu makanan kerana perbelanjaan makanan serta kos lain yang tinggi.

"Selain itu, keadaan itu juga disebabkan sebahagian daripada mereka ingin membantu adik-beradik yang masih bersekolah.

"Ia juga termasuk kemungkinan sebahagian pelajar yang bergantung kepada makanan seperti nasi berlauk telur goreng dan kicap, roti serta mi segera.

"Ada juga mahasiswa yang berpotensi tidak dapat meneruskan pengajian sekiranya mereka berdepan masalah kewangan yang rumit

Dalam keadaan ini, Dr Anuar Shah berkata, universiti sentiasa membantu pelajar dari semasa ke semasa untuk meringankan beban mahasiswa melalui pelbagai bantuan kewangan untuk pelajar yang benar-benar memerlukan bantuan.

Namun dalam konteks menyeluruh salah satu penekanan yang perlu diberikan untuk meringankan beban pelajar adalah membabitkan kos harian makanan mahasiswa.

"Justeru, kerajaan boleh pertimbangkan melalui Belanjawan 2023 insentif pembelian makanan harian khas dalam bentuk e-dompet yang dikreditkan secara bulanan kepada semua pelajar B40 dan M40 sepanjang tempoh pengajian dan dicadangkan ia hanya digunakan untuk membeli makanan dalam kampus.

"Pihak kampus juga boleh bersedia untuk pelaksanaan pembayaran pembelian makanan pelajar secara e-dompet," katanya.

Dr Anuar Shah berkata, ada juga keperluan di mana agensi kerajaan yang terbabit memberikan bantuan kewangan kepada mahasiswa dan bakal mahasiswa.

"Perkara sama boleh dilakukan agensi swasta dalam membantu mahasiswa dan bakal mahasiswa terutama daripada keluarga B40 sebagai persiapan memasuki menara ilmu.

"Sebagai contoh, kerajaan memperkenalkan Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia iaitu satu inisiatif di bawah Belanjawan 2022 diterajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Penerima daripada inisiatif ini iaitu terdiri daripada mahasiswa dalam kalangan keluarga B40 yang pendapatan isi rumah RM4,850 dan ke bawah akan menerima tablet Samsung model terkini, lengkap dengan 'casing,' 'keyboard' dan 'stylus pen'," katanya.

Dalam masa sama kerjasama antara universiti dan industri juga boleh membantu mahasiswa untuk memperoleh manfaat itu.

Sebagai contoh, baru-baru ini SPE UPM bekerjasama dengan QSR Brands (M) Holdings Berhad melaksanakan Program Asnaf Masuk Universiti, program membantu pelajar asnaf yang menerima tawaran mempersiapkan diri untuk mengikuti pengajian di universiti kelak.

"Kerjasama antara agensi kerajaan, universiti dan industri secara tidak langsung membantu pelajar memerlukan membuat persediaan untuk sesi pengajaran serta pembelajaran di kampus selain daripada membantu sebahagian kos sara hidup mahasiswa khususnya daripada keluarga B40 dan M40.

"Akhirnya fokus utama adalah bagi memastikan mahasiswa dapat melengkapkan pengajian masing-masing tanpa dibelenggu masalah kewangan terutama yang membabitkan kos sara hidup yang boleh menjejaskan pengajian pelajar," katanya.

Pengarah Pusat Inisiatif Pemodenan Pendidik (NiCE) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Kama Shaffeei berkata, pembentangan Belanjawan 2023 ini adalah platform penting dalam mencorakkan perkembangan ekonomi negara.

Katanya, kerajaan perlu merencana pelbagai pendekatan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia dan aspek manfaat kepada pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) perlu diberi fokus utama dalam membantu pembelajaran mereka.

"Pembelajaran secara bersemuka memerlukan semula keyakinan dan sokongan padu bagi membantu ilmu yang diperoleh digunakan sebaik mungkin.

"Oleh itu, Belanjawan 2023 perlu menitikberatkan kemudahan pelajar di IPTA dengan memastikan infrastruktur pembelajaran kondusif dan mampu menyokong pembelajaran secara bersemuka atau hybrid.

"Kemudahan peranti bagi pelajar B40 sebelum ini memberi satu suntikan semangat kepada mereka dengan menambah sokongan yang lebih jitu dalam pembelajaran," katanya.

Dr Kama berkata, kerajaan juga perlu mewujudkan satu sokongan secara berkala bukan sahaja bantuan, tetapi sokongan kepada pelajar di IPTA dan pensyarah diberi kebebasan menggunakan pelbagai platform pengajaran yang terkini selaras dengan teknologi digital masa depan.

"Belanjawan 2023 perlu mampu menterjemahkan aspek pendidikan masa depan yang tekal dan telus bagi melahirkan generasi kalis masa depan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan," katanya.

Sementara itu, Presiden Pemimpin Belia Universiti Malaya (UM) Lim San Shien berkata, menerusi Belanjawan 2023 ini dia berharap pemberian e-dompet kepada belia diteruskan dan nilainya dinaikkan supaya dapat meringankan beban mahasiswa serta rakyat dalam usaha menangani kos sara hidup.

Selain itu, Lim juga berharap kerajaan boleh melancarkan inisiatif 1 Siswa 1 Tablet kerana pada masa kini kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) amat penting dalam meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran mahasiswa.

"Langkah itu juga dapat mengurangkan jurang digital semua mahasiswa dalam mengakses internet untuk memperoleh ilmu pengetahuan.

"Kerjasama kerajaan dengan agensi, jabatan dan rakan strategik daripada korporat mahupun pihak swasta juga sangat diharapkan bagi membolehkan mahasiswa meneroka lebih banyak peluang latihan industri bagi memberi pengalaman kerja serta memperluas pengalaman dalam bidang kerjaya masing-masing," katanya.

Lim berkata, menerusi Belanjawan 2023 ini juga diharap kerajaan boleh meningkatkan pemahaman dan pengetahuan rakyat mengenai ekonomi gig, sekali gus menggalakkan rakyat terbabit dalam sektor ekonomi itu.

"Langkah ini bagi memastikan ekosistem gig dapat dikembangkan lagi dengan kebajikan pekerja yang baik, perlindungan dari segi undang-undang, waktu kerja fleksibel supaya lebih ramai belia dan mahasiswa dapat terbabit dalam ekonomi gig ini.

"Kementerian Kewangan dan KPT juga diharap menambah lebih banyak peruntukan untuk aktiviti badan persatuan mahasiswa berdaftar supaya belia dapat kekal aktif menganjurkan program berimpak dalam menyumbang idea, tenaga untuk varsiti dan negara selain mengasah bakat kepimpinan serta meningkatkan kemahiran insaniah (soft skills)," katanya.

"Akhir sekali sebagaimana isu sekarang, kerajaan perlu membina lebih banyak tempat penginapan atau asrama sekitar universiti bagi memastikan mahasiswa dapat penempatan untuk mudahkan urusan pembelajaran," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 7:00 AM