PUI Mun (kiri) dan Yi Wen. FOTO ihsan UUM
PUI Mun (kiri) dan Yi Wen. FOTO ihsan UUM
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Dua penuntut Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) Universiti Utara Malaysia (UUM) mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa apabila memperolehi markah tertinggi dalam kertas peperiksaan program The Association of Chartered Certified Accountants (ACCA).

Looi Pui Mun yang juga graduan Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) memperoleh markah tertinggi bagi kertas Advanced Financial Management (AFM) Disember 2021.

Manakala Tan Yi Wen, penuntut tahun akhir Sarjana Muda Perakaunan memperoleh markah tertinggi bagi kertas Advanced Performance Management (APM) Disember 2021.

Pencapaian itu sekali gus meletakkan Pui Mun di tempat pertama di dunia dan Malaysia, manakala Yi Wen berada di tempat pertama di Malaysia dan ke-14 di dunia.

Menurut Pui Mun, meskipun berada dalam situasi pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir, ia tidak menjadi halangan sebaliknya satu kelebihan kerana dia mempunyai banyak masa untuk fokus belajar selepas menamatkan latihan industri, katanya yang kini bekerja sebagai perunding.

Katanya, dia berterima kasih kepada UUM, ACCA, keluarga dan rakan-rakan di atas sokongan dan dorongan yang berterusan sepanjang pencapaian yang diperoleh dan ia telah mendorongnya untuk terus bekerja lebih keras.

Sementara itu, kegembiraan sama turut dirasai Yi Wen, 23, kerana berjaya memperoleh markah tertinggi bagi kertas APM.

"Saya sangat teruja dan pada masa sama terkejut kerana tidak sangka akan memperoleh markah tertinggi di Malaysia. Segala usaha selama ini akhirnya terbayar, namun perjalanan saya masih jauh lagi untuk melengkapkan kertas peperiksaan bagi program ACCA ini.

"Untuk mencapai kejayaan hari ini, disiplin amat penting. Saya akan menyiapkan tugasan terlebih dahulu, kemudian menonton rakaman video kelas tambahan, mengulangkaji dan membuat latihan soalan tahun-tahun terdahulu, selain bijak membahagikan masa. Di sinilah segala ilmu yang dipelajari di UUM dipraktikkan," katanya.

Mengulas lanjut, Yi Wen berkata, cabaran utama ketika persediaan untuk menyiapkan kertas kerja ini ialah pengurusan masa memandangkan banyak tugasan kuliah yang perlu diselesaikan pada waktu yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 11:57 AM