GOLONGAN muda mampu memberikan idea baru yang lebih segar dan lebih menjiwai keperluan pelajar sekali gus memberi impak kepada universiti. - Gambar hiasan
GOLONGAN muda mampu memberikan idea baru yang lebih segar dan lebih menjiwai keperluan pelajar sekali gus memberi impak kepada universiti. - Gambar hiasan
Suliati Asri


ALUMNI bukan hanya sekadar siswazah atau lepasan sesebuah maktab atau universiti tetapi aset penting negara yang akan membangunkan negara ke tahap yang lebih tinggi.

Alumni adalah contoh teladan yang berkesan dan mudah diterima oleh pelajar.

Dengan kembalinya alumni ke universiti untuk membantu atau dalam pentadbiran Institusi Pengajian Tinggi (IPT), mereka bukan saja menjadi inspirasi kepada pelajar tetapi boleh membawa pembaharuan atau idea baru dalam pelbagai perkara.

Setiap alumni melalui pengalaman daripada zaman belajar kepada graduan yang unik dan berbeza.

Justeru, mereka mempunyai potensi untuk menyumbang kepada universiti dalam cara dan skala yang pelbagai.

Oleh yang demikian, pelantikan alumni dan golongan muda sebagai sebahagian daripada pentadbiran institusi IPT adalah relevan dan sangat diperlukan.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, bantuan alumni sebagai satu daripada pemegang taruh amat diperlukan bagi meningkatkan kualiti sesebuah institusi IPT.

Menurutnya, banyak IPT luar negara seperti Harvard University, Cornell University dan University of Cambridge yang kualitinya sudah tidak perlu diperbahaskan lagi menyerapkan alumni dalam barisan pentadbiran.

"Sumbangan alumni dengan pelbagai latar belakang amat penting demi mendapatkan sokongan dan bantuan bagi meningkatkan kualiti IPT, justeru kaedah sama boleh kita aplikasi atau perkukuhkan di negara ini.

"Tiada salahnya mengambil alumni sebagai sumber untuk membantu meningkatkan kualiti pendidikan dengan menggunakan pelbagai platform serta menerusi peraturan atau undang-undang yang dibenarkan.

"Selain kualiti pendidikan, jaringan alumni yang kukuh juga mampu memberi bantuan kewangan, meningkatkan kebolehpasaran graduan dan seterusnya menarik minat generasi baharu untuk mengikuti pengajian di IPT berkenaan," katanya.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, banyak IPT di luar negara yang menjadikan alumni sebagai sebahagian anggota pentadbiran IPT seperti di Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK).

PENGALAMAN alumni dalam pelbagai industri boleh dimanfaatkan dalam IPT. - Gambar hiasan
PENGALAMAN alumni dalam pelbagai industri boleh dimanfaatkan dalam IPT. - Gambar hiasan

Katanya, pelajar juga diberikan kepercayaan menerusi majlis perwakilan pelajar atau kesatuan pelajar yang terbabit dalam menyumbang idea dan pandangan untuk dipertimbangkan pengurusan IPT dalam membuat keputusan.

"Jadi, budaya ini perlu disuburkan di Malaysia supaya kualiti pendidikan di peringkat pengajian tinggi dapat dipertingkatkan pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Penolong Pendaftar Kanan Universiti Sains Malaysia (USM), Mohd Zuaril Akimi Mohd Shaari berkata, apabila sudah menjadi alumni, mereka ibarat duta kecil kepada institusi berkaitan.

Justeru, alumni itu sangat penting kerana mereka juga yang membantu dan berpengaruh dalam membina reputasi sesebuah universiti.

"Dalam konsep pengajaran dan pembelajaran, pengalaman sangat penting bagi setiap pelajar.

"Disebabkan itu, dalam dasar pembangunan pelajar, perkara ini sentiasa diberi penekanan supaya seseorang pelajar itu mempunyai pengalaman yang sangat luas, menarik dan bervariasi kerana inilah yang mereka bawa bersama apabila menamatkan pengajian selain

Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA)," katanya. "CGPA mungkin sekadar sijil tetapi pengalaman itulah yang akan dibawa ke mana saja sampai bila-bila," tambahnya yang juga alumni USM.

GOLONGAN muda mampu memberikan idea baru yang lebih segar dan lebih menjiwai keperluan pelajar sekali gus memberi impak kepada universiti. - Gambar hiasan
GOLONGAN muda mampu memberikan idea baru yang lebih segar dan lebih menjiwai keperluan pelajar sekali gus memberi impak kepada universiti. - Gambar hiasan

Mengulas lanjut mengenai pelantikan alumni dari golongan muda dalam pentadbiran IPT, katanya ia adalah sangat wajar dan relevan.

"Langkah ini adalah sesuatu yang wajar pada saya. Lagipun kalau kita lihat, komponen alumni ini memang sangat penting kepada Universiti.

"Malah dalam pengurusan tertinggi universiti juga memberikan tumpuan terhadap alumni melalui Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni."

"Menerusi pelantikan orang muda dalam pentadbiran tertinggi, mereka boleh memberikan idea baru yang lebih segar dan lebih menjiwai keperluan pelajar yang rata-rata terdiri daripada golongan muda sekali gus memberi impak kepada universiti," katanya.

Mohd Zuaril Akimi berkata bukan mahu menafikan golongan yang sedia ada tetapi kita perlu seiring perubahan dan evolusi teknologi semasa.

Gabungan golongan muda dan pemimpin yang berpengalaman serta berkarisma, pastinya mampu menzahirkan kejayaan yang berimpak tinggi.

"Kita ambil contoh situasi pandemik Covid-19. Ketika itu, kita banyak bergantung kepada teknologi dan pastinya golongan muda yang lebih dekat dan menguasai teknologi ketika ini.

"Jadi, inspirasi pelajar juga lebih relevan dibawa orang muda yang lebih memahami kehendak dan cita rasa mereka," katanya.

PROFESOR Datuk Dr Mohammad Shatar
PROFESOR Datuk Dr Mohammad Shatar

Justeru, peluang yang diberi kepada alumni muda sebagai pemegang taruh adalah satu penghormatan dan kesempatan terbaik kepada kumpulan alumni terutama wakil daripada golongan yang lebih muda.

"Ini adalah kesempatan terbaik untuk membawa suara daripada anak muda yang lebih segar, ikut trend terkini tetapi perlu mempunyai asas yang kukuh dan relevan dengan keadaan semasa."

"Bagaimanapun, mereka perlu tonjolkan kematangan, kebijaksanaan dan sentiasa berhemat dalam menyuarakan pandangan serta memberikan cadangan bernas demi kebaikan semua pihak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 7:00 AM