SUMBANGAN cermin mata di bawah Program Better.Brighter.Vision (BBV) membantu pelajar memberikan lebih fokus terhadap pembelajaran.- Gambar diambil sebelum pandemik Covid-19.
SUMBANGAN cermin mata di bawah Program Better.Brighter.Vision (BBV) membantu pelajar memberikan lebih fokus terhadap pembelajaran.- Gambar diambil sebelum pandemik Covid-19.
Suliati Asri


TERHARU dan gembira. Itulah perasaan pelajar tingkatan empat SMK Kelibang Nur Sofia Qistina Mustafa apabila dipilih menjadi penerima bantuan kaca mata menerusi program Better.Brighter.Vision.

Program berkenaan adalah kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan Hospital Mata Tun Hussein Onn bagi membantu pelajar kurang berkemampuan yang mengalami masalah penglihatan dan memerlukan bantuan cermin mata

Nur Sofia antara lebih 1,500 pelajar sekolah di Kuala Lumpur dan Kedah dengan kos RM150,000 yang sudah menerima manfaat menerusi program diperkenalkan sejak 2019 itu.

Menurutnya, bantuan berkenaan adalah pemberian yang sangat bermakna bukan saja kepada dirinya tetapi kepada pelajar lain yang mempunyai masalah penglihatan.

"Dengan bantuan cermin mata ini, ia membantu saya sebagai pelajar untuk fokus semasa sesi pembelajaran. "Pemberian cermin mata ini juga mendorong saya untuk bekerja keras dan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai impian saya. Terima kasih TNB," katanya.

Rasa syukur turut diluahkan pelajar tingkatan empat SMK Kelibang, Langkawi, Noramira Abdul Rahman dengan sumbangan cermin mata berkenaan.

"Terima kasih kepada TNB dan semua yang terbabit dalam program ini. Saya juga amat bersyukur kerana terpilih menerima sumbangan cermin mata ini," katanya.

Perasaan sama dikongsi murid tahun enam SK Langkawi Ahmad Farez Ahmad Idris mewakili murid sekolah berkenaan yang turut berterima kasih atas bantuan cermin mata melalui program itu.

MOHAMAD Ariff
MOHAMAD Ariff

Bagi Penolong Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Langkawi (Hal Ehwal Murid), Salawati Saad, sumbangan bermakna itu membantu pelajar melakukan pemeriksaan mata.

"Bantuan ini membantu pelajar dalam kalangan keluarga yang kurang berkemampuan melakukan pemeriksaan mata dan mendapat cermin mata secara percuma," katanya.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Mahsuri, Sa'diah Abdul Samad pula berkata, pihaknya berterima kasih kepada TNB dan THONEH yang menyumbangkan 25 cermin mata kepada pelajar sekolah berkenaan.

"Mereka sangat memerlukan cermin mata dalam kaedah pembelajaran secara dalam talian sekarang. Kami guru berharap mereka terus cemerlang," katanya.

SA'DIAH
SA'DIAH

Sementara itu, Ketua Pegawai Solusi Bisnes Global, Mohamad Ariff Zainol berkata, sebagai sebuah syarikat utiliti negara yang sentiasa dekat di hati masyarakat, usaha berkenaan membolehkan pelajar yang rabun dekat dan jauh meneruskan pembelajaran dengan selesa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 6:15 AM