DR Mohd Ekhwan (bawah kiri) dan Shamsul Bahar (bawah kanan) menunjukkan dokumen MoU yang ditandatangani disaksikan Dr Siti Kartom (atas kiri) dan Dr A Bakar (atas kanan).
DR Mohd Ekhwan (bawah kiri) dan Shamsul Bahar (bawah kanan) menunjukkan dokumen MoU yang ditandatangani disaksikan Dr Siti Kartom (atas kiri) dan Dr A Bakar (atas kanan).
HM Digital

INSTITUT Sel Fuel, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi pelopor dalam pengeluaran hidrogen pembebasan sifar selepas menjalin kerjasama strategik dengan Pusat Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).

Kerjasama itu membabitkan perkongsian kepakaran berkaitan bidang teknologi hidrogen dan sel bahan bakar serta memberi pendedahan untuk pelbagai bidang penyelidikan di UKM.

Naib Canselor Profesor Datuk Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, universiti itu sentiasa terbuka dalam memberi peluang untuk menyumbang kepakaran dalam bidang teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui.

"MGTC adalah pemangkin utama penyebaran teknologi hijau yang memacu negara dalam bidang Pertumbuhan Hijau, Mitigasi Perubahan Iklim, dan Gaya Hidup Hijau.

"Perjanjian dengan MGTC melalui Institut Sel Fuel ini menunjukkan keyakinan dan kepercayaan terhadap kemampuan UKM untuk berkolaborasi dalam pembangunan industri hidrogen dan sel bahan bakar," katanya ketika berucap pada Majlis menandatangani MoU yang diadakan secara maya baru-baru ini.

MoU itu ditandatangani Dr Mohd Ekhwan dan Ketua Pegawai Eksekutif MGTC Ts Shamsul Bahar Mohd Nor.

Majlis menandatangani MoU turut disaksikan Pengarah Institut Sel Fuel UKM Prof Ir Dr Siti Kartom Kamarudin dan Pengerusi MGTC Profesor Datuk Ir Dr A Bakar Jaafar.

Dr Mohd Ekhwan berkata, seiring dengan kemajuan ekonomi hidrogen global, MoU antara kedua-dua institusi itu juga akan memudahkan inisiatif ekonomi hidrogen secara berpatutan dan mesra alam serta menyokong promosi aplikasi tenaga hidrogen.

"Oleh itu, kerjasama ini bukan sahaja dapat merealisasikan visi ekonomi hidrogen negara tetapi juga memberi peluang kepada penyelidik dan pakar dari MGTC serta

UKM untuk berkongsi pengetahuan dalam memacu inisiatif ekonomi hidrogen terkehadapan," katanya.

Melalui MoU itu juga, Dr Mohd Ekhwan berharap UKM akan menjadi rakan strategik utama industri bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D), tidak hanya dalam bidang teknologi hidrogen dan sel bahan bakar, tetapi juga dalam bidang yang relevan yang ditawarkan fakulti dan institusi penyelidikan di UKM.

"Kerjasama dengan MGTC akan memberikan faedah jangka panjang dan mengeratkan hubungan antara UKM dan MGTC pada masa akan datang.

"UKM akan melakukan yang terbaik untuk memastikan kejayaan MoU ini dan mudah-mudahan usaha ini akan menjadi contoh bagi industri lain untuk bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi dalam perkongsian penyelidikan untuk kepentingan negara," katanya.

Sementara itu, Dr A Bakar berharap, kerjasama itu akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dari segi pemindahan pengetahuan dan teknologi, pembangunan perubahan iklim dan ekosistem hidrogen dengan asas pendidikan yang berpotensi tinggi di semua sektor ekonomi terutama di Malaysia serta di rantau ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 6:35 AM