Bukan mudah siswazah sesuaikan diri dengan amalan norma baharu.
Bukan mudah siswazah sesuaikan diri dengan amalan norma baharu.
Hanis Aliaa Hidzir

PENULARAN wabak Covid-19 bukan sahaja memberi impak kepada sektor ekonomi malah turut memberi kesan terhadap sektor pengajian tinggi di negara ini.

Pelbagai inisiatif dilakukan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pihak pengurusan universiti antaranya proses pengajaran dan pembelajaran dalam talian bagi memastikan sesi akademik dapat diteruskan.

Selain mengekang penularan Covid-19, langkah ini juga dapat memastikan sesi kuliah boleh diteruskan tanpa perlu membuat sebarang penangguhan.

Tidak dapat dinafikan bukan mudah untuk siswazah menyesuaikan diri dengan amalan norma baharu yang ternyata ada cabarannya.

Praktik pengurusan masa, ikut jadual

ImageSyauqi ketika menyertai aktiviti sukarela alam sekitar di Bukit Gasing pada tahun 2019. 

Penuntut tahun dua Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan Muhammad Syauqi Ishak, mengakui sukar baginya untuk menumpukan perhatian ketika sesi pembelajaran dalam talian dengan adanya gangguan seperti bunyi bising.

Keadaan itu memaksa Syauqi berusaha kekal fokus ketika sesi pembelajaran serta mempunyai jadual ketat bagi menyesuaikan diri dengan situasi dihadapi.

"Dengan cara ini,  saya dapat menyenaraikan keutamaan pembelajaran dan komitmen di rumah. Jika tidak, saya mungkin tidak dapat mengikuti topik yang berlangsung. 

"Selain itu, ia juga dapat memastikan saya sentiasa peka dengan pelajaran terutamanya ketika saya sibuk dengan perkara lain," katanya. 

Syauqi juga menyarankan mahasiswa mewujudkan corak pembelajaran fleksibel bagi membantu menyesuaikan diri dengan sesi akademik era pandemik.

"Dapatkan tidur yang mencukupi kerana aura negatif akan mengambil alih fikiran sekiranya tidak mendapat rehat yang cukup. Tidur juga membantu minda kekal cergas, kreatif dan gembira," katanya.

Pandemik tidak halang perkongsian ilmu

ImageAqif ketika sesi tutor program tuisyen percuma anjuran Taylor's College Make A Difference (MADU).

Jadual kelas dan perjumpaan dalam talian yang padat tidak menghalang penuntut South Australian Certificate of Education International (SACEi) Aqif Addy Zulkifly, untuk kekal fokus dan produktif. 

Aqif sentiasa berusaha memberikan yang terbaik terutama apabila diberi peluang menjadi fasilitator dalam program tuisyen percuma untuk pelajar kurang berkemampuan yang bakal menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM). 

"Sebelum memulakan sesi tutor, saya berkomunikasi dengan pelajar melalui WhatsApp untuk mengetahui keperluan akademik mereka. 

"Selepas sesi tutor, saya akan menjawab dan menerangkan soalan tertentu yang diajukan mereka melalui WhatsApp," katanya.

Walaupun berdepan gangguan internet yang tidak dapat dielakkan sepanjang sesi pengajaran, Aqif tetap gembira dapat membantu mereka yang memerlukan.

Aqif turut berpesan supaya bakal mahasiswa bersenam secara konsisten dan sentiasa berfikiran positif menghadapi cabaran pembelajaran era pandemik.

Bersyukur dengan apa ada

Lain pula bagi Aimi Hamizah Kamarul Zaman apabila mula berjinak-jinak dengan bidang perniagaan dalam talian ketika negara dilanda pandemik tahun lalu. 

Aimi gembira kerana dapat menimba banyak ilmu pengetahuan melalui pengalamannya selama beberapa bulan menceburi bidang berkenaan.  

ImageAimi (tiga dari kiri) di Hospital Sungai Buloh pada tahun 2018.

Pelajar tahun akhir jurusan Perubatan dan Pembedahan ini juga berasa masanya tidak sia-sia apabila berjaya menghabiskan peperiksaan akhir dan pada masa sama merancang mengembangkan pasukan perniagaannya. 

"Saya tidak sabar belajar lebih banyak mengenai perniagaan sementara menunggu panggilan sebagai doktor pelatih," katanya.

Aimi percaya segalanya akan dipermudahkan sekiranya hubungan individu dengan Tuhan, ibu bapa dan orang sekeliling dijaga dengan baik.

"Benda baik juga haruslah dikongsi bersama kerana semakin banyak kita berkongsi, makin banyak kita akan peroleh.

"Selain itu, menyenaraikan perkara yang saya syukuri juga membantu untuk kekal bermotivasi ketika keadaan sukar," katanya lagi.

Pengajian berkualiti era pandemik 

Image

Memahami cabaran yang dilalui siswazah dalam era pandemik ini, Taylor's University tampil sebagai universiti swasta terbaik di Malaysia dan Asia Tenggara.

Mendapat pengiktirafan lima bintang bagi pembelajaran dalam talian, Taylor's University berupaya memastikan siswazah mendapat pendidikan berkualiti sama ada dalam talian mahupun dalam kelas.

Rasailah pengalaman pembelajaran era pandemik terbaik di Taylor's University melalui program Semester Khas Jun.

Untuk maklumat lanjut tentang program Semester Khas Jun Taylor's University sertai Hari Terbuka Digital mereka pada 29 dan 30 Mei 2021 melalui https://college2.taylors.edu.my/digitalopenday/.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 4:48 PM