PENGURUSAN universiti sentiasa meluangkan masa bersama perwakilan pelajar dan berkongsi pelbagai inisiatif universiti dalam menangani isu yang dihadapi.
PENGURUSAN universiti sentiasa meluangkan masa bersama perwakilan pelajar dan berkongsi pelbagai inisiatif universiti dalam menangani isu yang dihadapi.
Suliati Asri


TERPILIH untuk mengetuai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sebagai Yang Dipertua (YDP) bukan satu kebanggaan sebaliknya tanggungjawab berat yang perlu digalas demi kebaikan semua.

YDP MPP Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sesi 2020/2021, Wan Akmal Nazirah Wan Ubaidillah melahirkan kesyukuran dan kegembiraan atas pelantikannya sebagai ketua kepada badan yang mewakili pelajar UTM.

"Apabila diumumkan memenangi undian tertinggi pada Pilihan Raya Kampus (PRK) sesi kali ini, saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada pensyarah, barisan staf, rakan dan seterusnya semua mahasiswa UTM kerana memberikan kepercayaan kepada saya.

"Selepas kabinet disusun dan aspek kredibiliti disemak dan dibincangkan bersama, saya sekali lagi diberikan kepercayaan rakan seperjuangan dan barisan staf UTM untuk dilantik sebagai Yang Dipertua buat MPP pada sesi kali ini.

"Hal ini sememangnya cukup membanggakan tetapi dalam masa yang sama, ada tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul," katanya.

Seramai 33 pelajar dari pelbagai fakulti dilantik sebagai ahli jawatankuasa yang dibentuk selepas sesi PRK UTM baru-baru ini.

PRK UTM kali ini juga mencatat sejarah unik di mana buat pertama kalinya sistem pengundian dalam talian digunakan sepenuhnya bagi menggantikan kaedah pengundian konvensional.

Sistem e-Lection yang dibangunkan Jabatan Perkhidmatan Digital (UTM Digital) digunakan secara menyeluruh oleh mahasiswa dalam memilih perwakilan mereka buat kali pertama sejak 1972.

Lebih mesra disapa Nazirah, menurutnya cabaran yang bakal dilaluinya sebagai YDP adalah untuk menjadi pemimpin cemerlang, adil dan penuh integriti buat barisan pasukan MPP.

WAN Akmal Nazirah menerima watikah pelantikannya sebagai YDP MPP UTM sesi 2020/2021 daripada Naib Canselor UTM Profesor Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail.
WAN Akmal Nazirah menerima watikah pelantikannya sebagai YDP MPP UTM sesi 2020/2021 daripada Naib Canselor UTM Profesor Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail.

"Semoga ia membawa kebaikan kepada seluruh mahasiswa UTM selaras dengan nilai teras UTM iaitu integriti, sinergi, kecemerlangan dan kelestarian (ISES).

"Saya percaya bahawa sebuah pasukan yang kuat akan membawa kepada era kepemimpinan terbilang.

"Menerusi kekuatan itu insya-Allah lebih ramai pemimpin berkaliber dan graduan berkualiti dapat dilahirkan," katanya lagi.

Ditanya mengenai isu proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian yang kini dipraktikkan sejak pandemik Covid-19, Nazirah secara jujur mengakui perkara itu sememangnya mencabar terutama golongan mahasiswa yang kurang berkemampuan.

"Menyedari hal ini, UTM memberi kelonggaran dan membenarkan pelajar untuk kembali ke kampus agar proses PdP ini berjalan lebih lancar bagi mereka.

"Era baharu yang menggunakan pembelajaran secara atas talian saya rasakan membawa kesan kepada kebanyakan pelajar terutamanya dari segi tahap pembabitan mereka di dalam kelas," katanya.

Menurut Nazirah, melahirkan minat dalam pembelajaran menerusi kaedah PdP ini adalah penting kepada pelajar supaya mereka mencuba sendiri konsep ini melalui kaedah penyertaan pembelajaran di dalam bilik kuliah.

"Kebanyakan pelajar hilang fokus kerana kurang memahami apa yang diajarkan dalam sesi kuliah.

"Justeru, bagi saya, apabila pelajar dapat faham apa yang diajarkan dengan baik maka mereka akan lebih berminat untuk menghadiri sesi kuliah secara dalam talian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 6:38 AM